Pesawat Trigana dikesan di pergunungan Papua

Pesawat Trigana dikesan di pergunungan Papua

JAKARTA, 17 Ogos (Bernama/AFP) – Kerja mencari dan menyelamat (SAR) pesawat Trigana Air Service yang terputus hubungan sejak petang semalam, sedang giat dijalankan di kawasan pedalaman daerah Okbape, tidak jauh dari Pegunungan Bintang di Papua.

Laporan media tempatan memetik Kepala Bidang Hubungan Masyarakat Polis Daerah Papua, Rudolf Patrige sebagai berkata kawasan pencarian itu adalah 15 kilometer dari Kota Oksibil.

Katanya, berdasarkan maklumat masyarakat tempatan di kawasan itu, mereka ternampak pesawat terbabit terbang rendah di kawasan pegunungan berkenaan.

“Masyarakat sempat melihat pesawat terbang rendah dan bunyi dentuman kuat di lokasi tersebut. Saat ini masyarakat juga ikut membantu pergi ke lokasi itu,” katanya.

Perjalanan darat ke kawasan berkenaan adalah sukar kerana terpaksa merempuh hutan dan bukit serta mengambil masa yang lama.

Ahli keluarga melihat daftar nama-nama senarai penumpang yang menaiki pesawat Trigana Air. – Reuters
Ahli keluarga melihat daftar nama-nama senarai penumpang yang menaiki pesawat Trigana Air. – Reuters

Katanya, Ketua Polis Pegunungan Bintang, Yunus Wally bersama gabungan pasukan mencari dan menyelamat termasuk tentera dan polis telah dalam perjalanan ke tempat berkenaan.

Pesawat Trigana Air Service jenis ATR 42 PK YRN membawa 54 penumpang termasuk lima anak kapal itu berlepas dari lapangan terbang Jayapura.

Ia dilaporkan hilang pada pukul 2.21 petang waktu tempatan semalam setelah tidak mendarat di Lapangan Terbang Oksibil pada pukul 3.15 petang.

Sementara itu, Kepala Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas) Bambang Sulistyo dipetik sebagai berkata, pasukan SAR juga dikatakan telah menemukan serpihan yang dipercayai bahagian tertentu pesawat dan beberapa kepulan asap di sekitar lokasi berkenaan.

Pesawat itu juga dikatakan membawa sejumlah 6.5 bilion rupiah (AS$470,000) dalam bentuk tunai bagi pembahagian kepada golongan miskin di wilayah timur, menurut seorang pegawai pos.

“Empat orang daripada pekerja kami mengiringi dana tersebut,” kata Haryono, ketua pejabat pos Jayapura. Wang-wang tersebut diletakkan dalam empat buah beg, tambahnya.