Pesawat TUDM terhempas di Pekan

Pesawat TUDM terhempas di Pekan

KUANTAN, 17 Mei (Bernama) – Seorang jurulatih dan pelatih penerbangan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terselamat selepas pesawat latihan Aermacchi MB339CM terhempas di kawasan sawah padi di Kampung Serum, Pekan dekat sini, tengah hari tadi.

Pesawat yang berpangkalan di TUDM Kuantan itu dilaporkan terhempas akibat kerosakan teknikal semasa mangsa menjalani latihan penerbangan.

Penguasa Kanan Bomba II Bahagian Operasi Pahang Ashrul Rezal Asbar berkata pelatih penerbangan Leftenan Mohd Hakimi Hairi patah kaki manakala jurulatih, Mejar Nazrul Hafiz Zaimi tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kedua-dua mereka telah diambil oleh helikopter tentera pada pukul 1.37 tengah hari sejurus selepas kejadian itu,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.

Pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia jenis Aermacchi MB339CM terhempas di Nenasi, kelmarin. – Bernama
Pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia jenis Aermacchi MB339CM terhempas di Nenasi, kelmarin. – Bernama

Menurutnya, bomba menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada pukul 12.52 tengah hari sebelum satu jentera dengan 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pekan bergegas ke tempat kejadian. Ashrul Rezal berkata ketika anggota bomba sampai di lokasi, kedua-dua mangsa telah keluar daripada pesawat dan berada di tempat kejadian.

“Pesawat berkenaan didapati rosak dan remuk di bahagian hadapan akibat terjunam di kawasan sawah padi,” katanya.

Kedua-dua mangsa dilaporkan telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), untuk mendapat rawatan lanjut.