Pesawat United Airlines dilencong demi ‘keselamatan’

Pesawat United Airlines dilencong demi ‘keselamatan’

OTTAWA, 10 Jan (AFP) – Pesawat United Airlines yang dalam penerbangan dari Alaska ke Denver terpaksa dilencongkan ke Vancouver atas ‘alasan keselamatan’ dan menyebabkan seorang suspek ditahan pada Sabtu, kata seorang pegawai.

Kakitangan syarikat penerbangan dan lapangan terbang enggan mendedahkan masalah sebenar tetapi ia berlaku pada ketika Amerika Syarikat dan Kanada sedang meningkatkan tahap berjaga-jaga terhadap ancaman pengganas.

Jurucakap lapangan terbang berkata, penerbangan United Airlines 1104 dari Anchorage, Alaska menuju ke Denver, Colorado terpaksa dilencongkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Vancouver disebabkan alasan keselamatan.

Polis Diraja Kanada menerusi laman sosial Twitter mengesahkan: “Suspek berada dalam tahan kami. Operasi lapangan terbang tidak terjejas. Maklumat lanjut akan dimaklumkan.”

Sementara itu, syarikat penerbangan United Airlines berkata, pesawat terbabit mendarat dengan selamat dan mereka sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa.

ARTIKEL YANG SAMA