Pesawat vintaj siap sedia perjalanan rentas Afrika

Pesawat vintaj siap sedia perjalanan rentas Afrika

SHOREHAM, United Kingdom, 11 Okt – Puluhan pesawat berganda sayap dari tahun 1920-an dan 1930-an akan terbang sejauh 8,000 batu dari Crete ke Bandar Cape bulan depan dalam kumpulan pener-bangan vintaj yang mengenang kembali hari-hari terawal penerbangan udara.

Juruterbang akan terbang di sepanjang Nile dari Kaherah ke Khartoum, melintasi tanah tinggi Etiopia, menuju ke Afrika Timur kemudian merentasi Gunung Kilimanjaro, Victoria Falls, dan berakhir di Afrika Selatan.

“Pesawat udara itu akan terbang di kala keadaan cuaca panas, tinggi dan akan berdepan kesukaran…begitu juga juruterbangnya,” kata penganjur ‘Vintage Air Rally’ (VAR), Sam Rutherford di bawah langit biru di Lapangan Terbang Bandar Brighton.

“Tiada adanya alat pandu automatik, tidak ada sistem automatik, semuanya perlu dikawal sendiri, dengan sedikit perlindungan daripada elemen-elemen seperti matahari, angin, habuk dan minyak yang disemburkan keluar dari enjin hadapan selagi ia masih beroperasi.”

Kumpulan itu akan membuat kumpulan terbesar pesawat berganda sayap vintaj untuk membuat percubaan perjalanan ini merentasi Afrika.

Pesawat Tiger Moth (kanan) dan Travel Air 4000 terbang semasa pengambilan gambar bagi pelancaran Vintage Air Rally di luar pantai Shoreham, Sussex pada 10 Oktober. – AFP
Pesawat Tiger Moth (kanan) dan Travel Air 4000 terbang semasa pengambilan gambar bagi pelancaran Vintage Air Rally di luar pantai Shoreham, Sussex pada 10 Oktober. – AFP

Pasukan-pasukan daripada puluhan buah negara termasuk Britain, Kanada, Perancis, Jerman, Afrika Selatan dan Amerika Syarikat akan berlepas dari pulau Crete, Greek pada 12 November, mendarat di Cape Town pada 17 Disember selepas perjalanan selama 35 hari dan kira-kira 8,000 batu (13,000km).

Ia adalah perhimpunan pertama penerbangan yang diberi kebenaran untuk mendarat di piramid Giza, Mesir setelah 50 tahun, dan akan menyertai pameran udara pertama Sudan, kata Rutherford.

Perkara paling buruk yang boleh berlaku – dan hampir masalah paling serius adalah kegagalan enjin, tambahnya.

“Ia semua adalah pesawat enjin tunggal, tidak ada gantinya pada sayap lain. Namun pada sisi positifnya, pesawat udara itu terbang lebih perlahan, dan sudah pasti pendaratan cemas akan sangat-sangat perlahan.

“Ia hanya memerlukan sedikit tanah lapang, atau jalan raya, malah padang bola sepak, untuk mendaratkan pesawat itu dengan selamat.” – AFP