PESEJA benam Seri Wira FC

PESEJA benam Seri Wira FC

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Feb – PESEJA United FC bangkit dari ketinggalan 0-2 untuk mencatat kemenangan penting 3-2 ke atas Seri Wira FC, yang terus menghidupkan peluang kemaraannya ke pusingan kedua Liga Bolasepak Daerah Brunei & Muara 2015.

Sebaliknya keputusan itu menyebabkan debaran IKERAB FC semakin dirasai kerana kini hanya Dagang FC menjadi halangan terakhir yang perlu dilalui PESEJA United FC sebelum boleh mengesahkan tempatnya sebagai naib juara Kumpulan A, yang kini dihuni IKERAB FC dengan sembilan mata daripada lima perlawanan.

Menerusi kemenangan terbarunya itu, PESEJA United FC kini mengumpul tujuh mata daripada empat permainan, dan dengan baki satu perlawanannya adalah menentang pasukan tercorot, Dagang FC yang tewas keempat-empat perlawanannya sebelum ini, peluang kemaraan PESEJA United FC dilihat sangat cerah.

Menang perlawanan terakhirnya pada Jumaat, 26 Februari nanti, akan menjadikan kutipan mata PESEJA United FC kepada 10 mata, iaitu satu mata di atas IKERAB FC, yang sekali gus akan menyebabkan IKERAB FC terlepas slot naib juara kumpulan dan kuota terakhir pusingan kedua.

Dalam perlawanan keempatnya di Kompleks Sukan Sungai Kebun berkenaan, PESEJA United FC kelihatan goyah di awal perlawanan apabila mudah dibolosi dua kali oleh Seri Wira FC iaitu pada minit ke-8 dan 18, masing-masing dijaringkan oleh Awangku Rosmadi bin Pengiran Jaludin dan Awang Kamarul Zaman bin Haji Mohammad.

PESEJA United FC semakin hampir melangkah ke pusingan kedua Liga Bolasepak Daerah Brunei dan Muara apabila menang 3-2 ke atas Seri Wira FC.
PESEJA United FC semakin hampir melangkah ke pusingan kedua Liga Bolasepak Daerah Brunei dan Muara apabila menang 3-2 ke atas Seri Wira FC.

Melihat peluang kemaraannya ke pusingan kedua seakan-akan terlepas daripada genggaman, para pemain PESEJA United FC mula kelihatan ghairah menyerang dan hasilnya mereka berjaya mencantas pendahuluan Seri Wira FC kepada 1-2 menerusi jaringan Awang Mohd Salihin bin Suhaimi pada minit ke-27.

Ingin memastikan mereka tidak ketinggalan memasuki separuh masa kedua, PESEJA United FC terus menggandakan usaha untuk mendapatkan gol penyamaan yang ternyata membuahkan hasil di penghujung masa iaitu pada minit ke-45, menerusi sepakan Haji Mohd Faiz Fakhri bin Haji Damit. Kedua-dua pasukan memasuki separuh masa kedua dengan kedudukan terikat 2-2, menyebabkan kebangkitan separuh masa pertama PESEJA United FC masih belum cukup kerana mereka memerlukan kemenangan jika mahu mara.

Ternyata keinginan menang mereka cukup tinggi yang terbukti dengan ledakan jaringan terakhir dan kemenangan PESEJA United FC oleh Awang Safwan Amaluddin bin Sabli pada minit ke-60.

Juara Kumpulan A sudah pun sah menjadi milik MSN United FC, yang mengumpul 11 mata, maka hanya kedudukan naib juara kumpulan yang kini menjadi rebutan di antara IKERAB FC dengan PESEJA United FC.Walau bagaimanapun untuk ketika ini, IKERAB FC kekal di tangga kedua dengan sembilan mata dan perbezaan gol +4 daripada lima perlawanan, diikuti Sporting Family Team, juga dengan sembilan mata tetapi perbezaan gol -3 daripada lima permainan.

PESEJA United FC di tangga keempat dengan tujuh mata dan perbezaan gol +2 daripada empat perlawanan, Seri Wira FC di tempat kelima dengan empat mata dan perbezaan gol -2 daripada lima permainan dan Dagang FC dengan 0 mata daripada empat perlawanan di kedudukan tercorot.

ARTIKEL YANG SAMA