PESEJA masih berpeluang mara ke pusingan kedua

PESEJA masih berpeluang mara ke pusingan kedua

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Feb – Kedudukan Kumpulan A, Liga Bolasepak Daerah Brunei & Muara 2015 belum lagi muktamad setelah PESEJA United FC meranapkan hasrat kemaraan pusingan kedua Sporting Family Team apabila berpesta gol memberikan kekalahan kedua Sporting Family Team dengan jaringan 6-3 kelmarin.

Sporting Family Team yang hanya memerlukan sekurang-kurangnya keputusan seri untuk mara sudah awal tertekan apabila sudah ketinggalan 0-3 ketika perlawanan baru berlangsung 25 minit.

Haji Mohd Faiz Fakhri bin Haji Damit membuka tirai jaringan perlawanan di Padang & Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) itu pada minit ke-7 sebelum sekali lagi membolosi gawang Sporting Family Team pada minit ke-20. Lima minit kemudian kedudukan menjadi 3-0 menerusi jaringan Mohd Salihin bin Suhaimi.

Sporting Family Team berjaya membalas dengan dua jaringan dalam tempoh sepuluh minit iaitu pada minit ke-28 hasil jaringan Mohd Azmy bin Abdul Salam dan pada minit ke-38 menerusi rembatan Abdul Muiz bin Haji Mohd Aliff untuk membawa kedudukan 2-3 yang kekal sehingga rehat.

Bermula saja separuh masa kedua, PESEJA United FC yang nampak goyah di penghujung babak pertama kembali menyerlah apabila segera menjarakkan semula kedudukannya kepada dua gol menerusi jaringan hatrik Haji Mohd Faiz pada minit ke-47, hanya dua minit selepas sepak mula.

PESEJA United FC mencerahkan peluang kemaraannya ke pusingan kedua menerusi kemenangan 6-3 ke atas Sporting Family Team.
PESEJA United FC mencerahkan peluang kemaraannya ke pusingan kedua menerusi kemenangan 6-3 ke atas Sporting Family Team.

Tersentak dengan jaringan itu, Sporting Family Team yang mula merasakan pusingan kedua seakan terlepas daripada genggamannya menggandakan usahanya mendapatkan gol yang ternyata membuahkan hasil pada minit ke-55 hasil jaringan Hasmee bin Abdul Salam untuk kedudukan berubah menjadi 3-4.

Kini Sporting Family Team hanya perlu menjaringkan satu gol saja lagi untuk sekurang-kurangnya mengikat kedudukan dan meraih satu mata penting untuk bekalnya mara ke pusingan kedua namun PESEJA United FC bertahan kukuh sehingga mencecah minit ke-90.

Tiada siapa dapat menduga, kealpaan pemain Sporting Family Team ketika perlawanan masuk ke waktu kecederaan mengundang padah apabila PESEJA United FC memastikan tiada peluang kebangkitan lewat buat Sporting Family Team dengan membolosi lawannya itu dua kali dalam tempoh seminit saja.

Ahmad Eimaduddin bin Mahrub meledakkan jaringan pada minit ke-90+1 dan Muhd Nabil Arif bin Dato Paduka Haji Mohd Shahminan pula menyumbat gol pada minit ke-90+2 untuk keputusan muktamad 6-3 yang menghampakan Sporting Family Team.

Kegagalan untuk sekurang-kurangnya mengutip satu mata daripada dua perlawanan terakhirnya di peringkat kumpulan selepas cemerlang mencatat tiga kemenangan berturut-turut daripada tiga perlawanan pertamanya jelas menjadi penentu kepada gagalnya Sporting Family Team mara ke pusingan kedua.

PESEJA United FC yang mencatat kemenangan pertamanya selepas mengharungi tiga perlawanan itu kekal menghidupkan peluang kemaraannya yang kini mengutip 4 mata, maka jika berjaya mengutip 6 mata maksimum daripada dua baki perlawanannya, pusingan kedua pasti akan menjadi miliknya.

Keputusan yang memihak PESEJA United FC itu juga sekali gus mengesahkan MSN United FC yang menewaskan Sporting Family Team dengan jaringan 5-2 pada 8 Februari baru-baru ini layak ke pusingan kedua selaku juara Kumpulan A dengan 11 mata. – Hasrulraizan