Peserta bengkel juruacara terima sijil

Peserta bengkel juruacara terima sijil

Oleh Normazlina M.D

TUTONG, 14 Feb – Seramai 20 peserta yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan jabatan-jabatan kerajaan Daerah Tutong menerima sijil masing-masing setelah berjaya mengikuti Bengkel Juruacara Majlis bagi Daerah Tutong yang julung kalinya diadakan di Stesen Radio Televisyen Brunei (RTB), Daerah Tutong, kelmarin.

Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyampaikan sijil kepada peserta ialah Timbalan Pengarah RTB, Pengiran Haji Mahari bin Pengiran Haji Abdul Malik.

Menurut salah seorang wakil peserta bengkel, Haji Hasnan bin Suhaili, sepanjang bengkel dijalankan para peserta telah diajar bagaimana membuat persediaan sebelum sesuatu majlis, penyelarasan bersama pihak penganjur, penggunaan suara mengikut sesuatu tempat agar skrip yang dibaca adalah jelas didengar. Para peserta juga diajar untuk memperbaiki cara penulisan skrip dengan lebih kreatif.

Pada hari kedua bengkel, para peserta telah mempelajari majlis beristiadat, protokol dan terasul dengan lebih jelas dan teratur, dan diikuti dengan praktikal secara berkumpulan di samping diberi penilaian oleh fasilitator.

Pengiran Haji Mahari menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta Bengkel Juruacara Majlis.
Pengiran Haji Mahari menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta Bengkel Juruacara Majlis.
Antara yang hadir semasa Majlis Penutup Bengkel Juruacara Majlis bagi Daerah Tutong di Stesen RTB, Tutong.
Antara yang hadir semasa Majlis Penutup Bengkel Juruacara Majlis bagi Daerah Tutong di Stesen RTB, Tutong.

Menurutnya lagi, bengkel ini telah memberikan ilmu kejuruacaraan bermanfaat yang boleh dipraktikkan ke dalam tugas sebagai juru acara majlis itu nanti. Hasil dari bengkel ini nanti akan dapat membuka minda, berpengetahuan dan meningkatkan lagi keyakinan diri sebagai juruacara majlis.

Bengkel yang diadakan selama 3 hari di Daerah Tutong ini merupakan usaha berterusan RTB untuk memberikan pendedahan dan kemahiran kepada peserta-peserta bengkel untuk menjadi seorang juruacara bagi mengendalikan majlis rasmi atau tidak rasmi di Jabatan masing-masing.

ARTIKEL YANG SAMA