Peserta BICTA fahami pengesahan pasaran

Peserta BICTA fahami pengesahan pasaran

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Jun – Jawatankuasa Kerja Anugerah Teknologi Info Komunikasi Brunei (BICTA) 2016 telah meneruskan inisiatifnya menganjurkan satu lagi siri bengkel untuk membantu para peserta berdaftar pertandingan BICTA bersedia dan memperbaiki penyertaan mereka bagi penghakiman sebenar nanti.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, hari ini, bengkel kedua yang memfokuskan mengenai pengesahan pasaran telah diadakan dalam dua sesi di Dewan  Seri Kerna, Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info Komuni-kasi Brunei Darussalam (AITI).

Sesi pertama telah diadakan pada 1 Jun lalu bagi Kategori Projek Sekolah yang dimudahcarakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MuBN Training, Dr. Hajah Mona Yati binti DSLJ Haji Mohd Kassim dan Pengarah Urusan Bizadvize Services Sdn Bhd, Ambrose Nathan.

Bengkel tersebut telah dimulakan dengan pembentangan oleh Ambrose Nathan mengenai ‘Kenapa Kewangan Penting’ menggunakan analogi Nasi Katok yang menyediakan peluang kepada para peserta untuk mempelajari dan memahami asas pengurusan kewangan.

Sementara itu, Dr. Hajah Mona Yati mengongsikan ‘Kanvas Model Perniagaan’ yang merupakan alat untuk menghasilkan dan menganalisis mo-del perniagaan menggunakan sembilan blok bangunan.

Dr. Hajah Mona Yati mengongsikan mengenai ‘Kanvas Model Perniagaan’ kepada peserta Kategori Projek Sekolah.
Dr. Hajah Mona Yati mengongsikan mengenai ‘Kanvas Model Perniagaan’ kepada peserta Kategori Projek Sekolah.
Antara peserta Kategori Pendidikan Tinggi dan Industri ICT yang mengikuti bengkel sesi kedua berkenaan.
Antara peserta Kategori Pendidikan Tinggi dan Industri ICT yang mengikuti bengkel sesi kedua berkenaan.

Manakala itu, sesi kedua yang menyasarkan peserta daripada Kategori Pendidikan Tinggi dan Industri ICT telah diadakan kelmarin, dengan dimudahcarakan oleh Ketua Pembangunan Progresif Cellular Sdn Bhd (Progresif), Radi El-Fassed.

Beliau telah menyentuh mengenai makmal permulaan Progresif, pengesahan pasaran, merentasi jurang, mengambil peluang pasaran, membangunkan dan menilai kewangan sendiri, dan pembiayaan usaha sama baru.

Semua peserta dalam kedua-dua sesi terlibat dalam aktiviti-aktiviti berkumpulan untuk melatih pengetahuan yang dipelajari.

Menurut kenyataan itu lagi, siri terakhir bengkel BICTA 2016 akan meliputi topik mengenai kemahiran pembentangan dan ucapan, yang akan diadakan pada Julai depan dengan matlamat untuk melatih para peserta mengenai struktur pembentangan dan pengucapan yang efektif supaya mereka akan dilengkapi dengan kemahiran yang diperlukan untuk melibatkan dan menjual produk mereka kepada barisan panel hakim ketika sesi penghakiman pada Ogos depan.

ARTIKEL YANG SAMA