Peserta BICTA hadiri bengkel

Peserta BICTA hadiri bengkel

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Jun – Jawatankuasa Kerja Anugerah ICT Brunei (BICTA) 2015, hari ini, telah menganjurkan bengkel yang dihadiri lebih 100 peserta bagi mengongsikan pengetahuan mengenai perancangan strategi perniagaan, pengesahan pasaran atau potensi komersial serta meramal keperluan kewangan bagi cadangan mereka.

Para peserta terdiri daripada usahawan ICT dan juga para pelajar dari sekolah-sekolah menengah, institusi pembelajaran tertinggi dan kolej swasta.

Menurut kenyataan Pihak Berkuasa Institusi Teknologi Info-Komunikasi Brunei Darussalam (AITI), ini adalah yang pertama daripada tiga bengkel yang dianjurkan bagi para peserta BICTA 2015 untuk melengkapkan mereka dengan pengetahuan dan kemahiran perniagaan yang diperlukan sebelum penghantaran penyertaan terakhir yang akan ditutup pada 31 Julai 2015.

Bengkel dua hari itu, telah dikendalikan oleh Andrew Wong yang merupakan pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif MAD Incubator, iaitu inkubator persendirian terkemuka dan terbesar di Malaysia, serta Pengiran Sarimah binti Pengiran Haji Abdul Latif dari Suhbe Co.

Antara topik-topik disentuh ialah Menyasarkan Pelanggan & Cadangan Nilai, Strategi Inovatif, Membentuk Model Perniagaan yang Menarik, Strategi Jualan & Pemasaran, Aliran Tunai, dan Rumusan Rancangan Perniagaan.

Antara peserta muda BICTA menunjukkan hasil kerja mereka.
Antara peserta muda BICTA menunjukkan hasil kerja mereka.
Antara peserta BICTA 2015 yang mengikuti bengkel dua hari berkenaan.
Antara peserta BICTA 2015 yang mengikuti bengkel dua hari berkenaan.

Para peserta juga terlibat dalam latihan perbincangan intensif secara berkumpulan dan juga pembentangan.

BICTA adalah peraduan ICT tahunan yang diterajui oleh Kementerian Perhubungan dan dianjurkan bersama-sama oleh AITI dan Persekutuan InfoCom Brunei (IFB).

Peraduan ini terbahagi kepada tiga kategori iaitu Projek Sekolah, Projek Tinggi, dan Industri ICT, dengan pemenang pertama, masing-masing akan menerima hadiah wang tunai $2,500, $5,000 dan $10,000.

Tahun ini juga akan menampilkan empat anugerah khas iaitu Usahawan Harapan, Pemaju Muda, ICT Hijau dan Teknologi Baru Muncul.

ARTIKEL YANG SAMA