Peserta Ironman kali ke-20 terima ‘Hall Of Fame’

Peserta Ironman kali ke-20 terima ‘Hall Of Fame’

LANGKAWI, 13 Nov (Bernama) – Melihat keadaan fizikal, tiada siapa menyangka Yee Sze Mun, yang akan menyertai edisi ke-13 Kejohanan Ironman Langkawi 2015 esok, sudah berumur 78 tahun.

Lebih membanggakan apabila anak kelahiran Sentul, Kuala Lumpur itu disambut meriah oleh lebih 1,100 atlet dari 53 negara selepas menerima anugerah ‘Hall of Fame’ atas pembabitannya buat kali ke-20 dalam kejohanan Ironman (Malaysia dan dunia).

Anugerah tersebut disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Tan Sri Khalid Ramli, di Majlis Makan Malam bersempena Kejohanan Ironman Langkawi 2015, di sini malam tadi.

Yee yang menyertai Kejohanan Ironman pertamanya di Kona, Hawaii pada 1995 ketika berumur 58 tahun berkata dia berasa terharu dan gembira dengan anugerah yang diberikan dan ia menjadi pembakar semangat buat dirinya untuk terus menyertai kejohanan itu.

Tan Sri Khalid Ramli (dua kanan) menyampaikan anugerah ‘Hall Of Fame’ kepada Yee Sze Mun (tengah) atas penglibatan beliau selama 20 tahun dalam kejohanan Ironman. – Bernama
Tan Sri Khalid Ramli (dua kanan) menyampaikan anugerah ‘Hall Of Fame’ kepada Yee Sze Mun (tengah) atas penglibatan beliau selama 20 tahun dalam kejohanan Ironman. – Bernama

Menceritakan bagaimana dia boleh menceburkan diri dalam Ironman, Yee berkata dia mendapat dorongan untuk menyertai kejohanan itu selepas melihat liputan Ironman yang dilaporkan oleh media antarabangsa di televisyen.

“Apabila melihat liputan kejohanan itu, saya berasa kagum dengan kemampuan manusia yang mampu untuk menghabiskan tiga disiplin sukar yang melibatkan renang, berbasikal dan larian, itu menjadi dorongan untuk saya mencuba sendiri.

“Saya masih ingat perasaan berenang seawal 7 pagi pada penyertaan pertama Ironman dan itu menjadi kayu ukur untuk melihat sama ada saya mampu untuk menghabiskan semua disiplin atau tidak.