Peserta JENESYS 2015 diseru pertingkat disiplin

Peserta JENESYS 2015 diseru pertingkat disiplin

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Dis – Sebagai persediaan sebelum peserta Program JENESYS 2015 berlepas ke Jepun, Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) melalui Bahagian Latihan dan Pusat Sumber telah mengadakan sesi taklimat yang berlangsung di Bilik Latihan, Jabatan Belia dan Sukan, di sini, hari ini.

Taklimat disampaikan oleh Pegawai Latihan, Haji Muhd Nurul Azrin bin Haji Gani selaku Ketua Bahagian Latihan dan Pusat Sumber yang antara lain menyatakan mengenai persiapan berlepas.

Dalam taklimat tersebut, beliau juga menjelaskan mengenai peraturan dan tanggungjawab mereka yang terlibat pada program tersebut antaranya para delegasi perlu menunjukkan peringkat tinggi disiplin demi menjaga nama negara, berangkaian (networking) dengan delegasi yang lain, mengikuti peraturan yang disediakan, menyumbang secara aktif dalam program tersebut dan banyak lagi.

Beliau juga menyatakan, antara lain objektif program tersebut adalah untuk mengukuhkan hubungan dua hala di antara negara-negara ASEAN dan Jepun, bertukar-tukar idea dan pandangan dalam kalangan belia melalui persidangan, mesyuarat, forum, bengkel dan sesi dialog serta untuk menambah pengetahuan dan pengalaman mengenai budaya, sejarah, tradisi, teknologi, pendidikan, bahasa dan banyak lagi.

Turut hadir semasa sesi taklimat tersebut ialah Setiausaha Kedua, Yuki Iida selaku wakil dari Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam.

Sesi taklimat yang diadakan bagi belia yang terpilih mengikuti Program Jenesys 2015.
Sesi taklimat yang diadakan bagi belia yang terpilih mengikuti Program Jenesys 2015.

Seramai lima orang belia dari lima buah sekolah, kolej dan institusi pengajian tinggi telah dipilih bagi mengikuti ‘ASEAN Composite 2nd Batch: 70th Anniversary of the End of World War 2, Peace Building’ di bawah program JENESYS 2015.

Para peserta terdiri daripada Awang Abdul Haziq bin Haji Hairi yang merupakan penuntut Kolej IGS; Dayang Noor Ellyna binti Abdullah dari Kolej Antarabangsa Micronet; Dayang Nurmaizan Izzati Afrina binti Mezlan, lepasan penuntut Sekolah Menengah Sufri Bokiah Tutong; Dayang Mas Nurul Ain Salimah binti Haji Mas Farhan, penuntut Kolej Perdagangan dan Teknologi Cosmpolitan; dan Dayang Azalina binti Sabli dari Institut KEMUDA, Kuala Belait.

Program tersebut akan diadakan bermula 6 hingga 15 Disember 2015 di Tokyo, Hiroshima dan Nagasaki, Jepun.

Ia bertujuan bagi mewujudkan persahabatan dan jaringan para belia dan segi perkongsian maklumat berhubung dengan budaya kehidupan sosial, kemasyarakatan, ekonomi dan perkembangan semasa khususnya di antara Negara Brunei Darussalam dan Jepun.

ARTIKEL YANG SAMA