Peserta Karnival ‘Star Wars’ terima hadiah

Peserta Karnival ‘Star Wars’ terima hadiah

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Dis – Karnival Mini: Edisi Star Wars yang berlangsung di Pusat Membeli-Belah Times Square bermula 8 Disember lalu berakhir kelmarin dengan pelbagai aktiviti menyeronokkan mengisi sepanjang acara selama 13 hari berkenaan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan hari ini, antara acara yang diadakan sepanjang acara berkenaan termasuklah pertandingan mewarna yang diadakan pada 13 Disember dan pertandingan Pengajuk (Impersonator) Terbaik yang diadakan kelmarin. Di samping itu, maskot-maskot turut membuat penampilan sepanjang acara.

Sementara itu, aktiviti-aktiviti yang diadakan termasuk kuiz-kuiz, meletupkan belon, bola keranjang, permainan damak, melukis muka, melontar lingkaran dan banyak lagi.

Para pemenang bagi pertandingan mewarna dan pertandingan Pengajuk Terbaik telah diumumkan pada hari terakhir kelmarin apabila Times Square turut meraikan ulang tahun yang ke-5 di pusat membeli-belah berkenaan dengan majlis memotong kek yang dipimpin oleh Pengurus Am, Dayang Amal Majidah dan Pengurus Pemasaran, Lim Yee Liang serta dihadiri oleh kakitangan dan para peserta acara.

Tempat pertama bagi pertandingan mewarna telah dimenangi oleh Awang Mohammad Aiman Fitri Waqiuddin bin Mohd Khirizal yang diikuti oleh Awang Muhammad Aiman Hakim Bosbi Ardi dan Awang Muhammad Atiq bin Muhammad Adam, masing-masing di tempat kedua dan ketiga. Para pemenang pertandingan ini membawa pulang hadiah-hadiah tajaan Best Eastern dan Kofom Textile.

Antara peserta yang menyertai pertandingan semasa karnival tersebut.
Antara peserta yang menyertai pertandingan semasa karnival tersebut.

Sementara itu, pertandingan Pengajuk Terbaik dijuarai oleh Szeharlaigne Ching Yen Fung yang mengajuk sebagai watak Korra dari filem The Legend of Korra sekali gus membawa pulang wang tunai $100 dan baucar wang tunai daripada Restoran Excapade.

Ahmy Kristomo yang mengajuk watak Jacob Fyre dari filem Assassin’s Creed Syndicate menduduki tempat kedua dan memenangi wang tunai $75 dan baucar wang tunai daripada Excapade, manakala itu, Awangku Mohd Al-Mughni bin Pengiran Haji Abu Bakar di tempat ketiga dengan watak Joker daripada filem The Dark Knight sekali gus membawa pulang wang tunai $50 juga baucar wang tunai daripada Excapade.

Majlis kelmarin turut dimeriahkan dengan persembahan yoyo oleh Yo-Splinters Club.

Times Square dalam kenyataannya juga memaklumkan bahawa mereka akan mengadakan beberapa acara dalam masa terdekat ini, yang termasuk Pameran Penghujung Tahun bermula 24 Disember 2015 hingga 3 Januari 2016.

Bagi maklumat lanjut dan pendaftaran, orang ramai bolehlah menghubungi jabatan pemasaran di talian 2338208.

Orang ramai juga boleh mengetahui mengenai semua acara akan datang dengan melayari tsqbrunei.com atau dengan mengikuti akaun Facebook dan Instagram Pusat Membeli-Belah Times Square.

ARTIKEL YANG SAMA