Peserta Kenya juara 21km Terbuka Lelaki

Peserta Kenya juara 21km Terbuka Lelaki

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Okt – Lebih 500 orang menyertai perlumbaan Separa Maraton Sempena Ulang Tahun Hari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei 2015 Ke-54 Tahun yang berlangsung di Mini Stadium di Bolkiah Garison, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan melepaskan acara perlumbaan 21 Kilometer ialah Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah.

Beliau juga telah berkesudian untuk mengambil bahagian dalam acara lima kilometer bersama-sama pegawai kanan ABDB yang lain.

Separa Maraton itu dibahagikan kepada tiga kategori, iaitu 21 kilometer, 10 kilometer dan lima kilometer yang masing-masing dibahagikan kepada acara Terbuka Lelaki, Terbuka Wanita, Lelaki Veteran dan Wanita Veteran.

Dalam acara 21 Kilometer Terbuka Lelaki, juara disandang oleh John Lorono Lorira dari Kenya dengan catatan masa 1:06:10, naib juara diraih oleh Charles Kipkorir Kipsang dengan catatan 1:11:29 juga dari Kenya dan tempat ketiga dimenangi oleh Man Bahadur Thapa dengan catatan 1:19:53.

Tetamu kehormat bergambar bersama pemenang acara 21 Kilometer Terbuka Lelaki.
Tetamu kehormat bergambar bersama pemenang acara 21 Kilometer Terbuka Lelaki.
Tetamu kehormat, Pengerusi Majlis bergambar bersama-sama pemenang Peserta Paling Tua, Kapten (B) Haji Osman (tengah).
Tetamu kehormat, Pengerusi Majlis bergambar bersama-sama pemenang Peserta Paling Tua, Kapten (B) Haji Osman (tengah).

Sementara dalam acara 21 Kilometer Terbuka Wanita, juara dimenangi oleh Ednah Jeruto dari Kenya dengan catatan masa 1:19:30, naib juara diraih oleh Isabellah Kigen juga dari Kenya dengan catatan masa 1:22:07 manakala tempat ketiga Angela Lew dengan catatan masa 1:52:19.

Acara perlumbaan 21 Kilometer Lelaki Veteran 40 tahun ke atas dimenangi oleh jaguh lari jarak jauh tempatan, Sefli ak Ahar dengan catatan masa 1:16:55, naib juara dimenangi oleh Haji Jupli dengan catatan 1:22:59 dan tempat ketiga oleh Pengiran Haji Aliuddin bin Pengiran Haji Metussin dengan catatan masa 1:30:31.

Dalam acara 21 Kilometer Wanita Veteran 40 Tahun Ke Atas, juara dimenangi oleh Airince Liam dengan catatan 2:04:28, naib juara dimenangi Hajah Azahrina binti Idris dengan catatan masa 2:28:53 dan Nor Salam binti Kalong di tempat ketiga dengan catatan masa 2:51:14.

Dalam kategori 10 Kilometer Terbuka Lelaki, juara disandang oleh Julius dari Kenya,naib juara diraih oleh Kennedy Matolo dari Kenya dan tempat ketiga disandang oleh Lans Koperal Samsul bin Zamri. Dalam acara Lelaki Veteran 40 tahun Ke Atas. Juara disandang oleh PW2 (U) Samsul bin Haji Saidin, naib juara diraih oleh Haji Mohd Azmi bin Suhaili dan tempat ketiga dimenangi oleh Mohd Akilinnizam bin Sulaiman.

Sementara acara 10 Kilometer Wanita Terbuka dimenangi oleh Esther Wambui Karimi, naib juara disandang oleh Marnie Ahmad dan tempat ketiga oleh Juliana Abdullah   Chin. Acara 10 Kilometer Wanita Veteran dimenangi oleh Siti Fatimah binti Haji Abu Bakar, naib juara dimenangi oleh Husna binti Abdullah dan tempat ketiga dimenangi oleh Siti Zahrinah binti Haji Mohd Ali.

Bagi Kategori Lima Kilometer, acara Terbuka Lelaki dimenangi oleh Koperal Muhd Qamarul Ariffin, naib juara dimenangi oleh Nazrul Efffendy bin Ali Hassan dan tempat ketiga dimenangi oleh Koperal Shaherol Rolly. Bagi acara Lelaki Veteran pula dimenangi oleh Sarjan Othman, sementara Shahrin bin Haji Kassim memenangi tempat kedua dan Sarjan Ramlan di tempat ketiga.

Kategori Lima Kilometer Terbuka Wanita dimenangi oleh Shahana binti Hamirol Azam, sementara Kapten Dayangku Nur Izzah Nazurah di tempat kedua dan Dayangku Sahrizan binti Pengiran Saifuddin di tempat ketiga.

Manakala dalam acara Wanita Veteran, tempat pertama dijuarai oleh Cecilia binti Moksimin, Safiah binti Haji Jaafar di tempat kedua dan Rohana binti Kalat di tempat ketiga.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Mejar Sopian bin Haji Mohd Yassin, hadiah bagi Kategori 21 kilometer ialah $300 bagi juara, $200 bagi naib juara dan $100 bagi pemenang tempat ketiga, manakala pemenang tempat keempat hingga kesepuluh akan menerima baucar hadiah.

Sementara dalam kategori perlumbaan 10 kilometer ialah $150 bagi juara, $100 bagi naib juara dan $50 bagi pemenang tempat ketiga, manakala pemenang tempat keempat hingga kesepuluh akan menerima baucar hadiah manakala bagi Kategori Lima Kilometer ialah $75 bagi juara, $50 bagi naib juara dan $30 bagi pemenang tempat ketiga, manakala pemenang tempat keempat hingga kesepuluh akan menerima baucar hadiah.

ARTIKEL YANG SAMA