Peserta kursus pengakap remaja terima sijil

Peserta kursus pengakap remaja terima sijil

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Ogos – Seramai 38 ahli pengakap remaja, terdiri daripada 17 pengakap remaja lelaki dan 21 pengakap remaja perempuan dari lapan buah sekolah menengah berjaya menamatkan Kursus Kepimpinan Pengakap Remaja 2016, yang berlangsung di Pusat Latihan dan Kegiatan Pengakap Kebangsaan, Kompleks Pengakap Gadong baru-baru ini.

Kursus selama tiga hari yang bermula 29 Julai itu dianjurkan oleh Unit Beruniform dan Perkhidmatan Kemasyarakatan, Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan dengan kerjasama Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) Daerah Brunei dan Muara.

Penyampaian sijil disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengakap PPNBD, Skipper Haji Ismail bin POKRSDP Haji A. Hapidz.

Dua orang ahli pengakap remaja telah dipilih selaku peserta kursus terbaik, iaitu Awang Mohammad Assraddin bin Haji Ibrahim dari Sekolah Menengah Awang Semaun (Peserta Kursus Lelaki Terbaik) dan Dayang Nurul Izzati Dzani binti Rahman dari SM Menglait Gadong (Peserta Kursus Perempuan Terbaik).

Menurut kenyataan PPNBD di sini, sepanjang kursus tersebut, sebanyak 15 tajuk sesi telah disampaikan oleh 11 orang jurulatih yang terdiri daripada pesuruhjaya-pesuruhjaya pengakap dan pemimpin-pemimpin PPNNBD.

Skipper Haji Ismail memeriksa barisan pengakap remaja.
Skipper Haji Ismail memeriksa barisan pengakap remaja.
Skipper Haji Ismail menyampaikan sijil kepada salah seorang pengakap remaja.
Skipper Haji Ismail menyampaikan sijil kepada salah seorang pengakap remaja.

Kursus itu adalah sebagai salah satu kehendak yang terdapat pada anugerah pengakap remaja dan perlu dilaksanakan oleh setiap pengakap remaja sebagai salah satu syarat bagi melayakkan mereka dianugerahkan Lencana Pengakap Remaja.

Dengan ilmu-ilmu pengakap yang telah diperoleh maka diharap peserta-peserta akan dapat membantu pemimpin-pemimpin atau guru-guru pengawas pengakap untuk menguruskan pasukan masing-masing.

Peserta-peserta hendaklah menunjukkan kebolehan, aktif dan kreatif, dalam menjalankan skim-skim dan menyampaikan pelajaran pengakap.

Sistem jawatankuasa yang telah diajar adalah sangat mustahak dan penting dan perlu dipraktikkan dalam pasukan kerana dengan sistem ini akan banyak memberi manfaat dan membantu melancarkan perjalanan sesebuah pasukan.