Peserta kursus terima sijil penempatan kerja di TelBru

Peserta kursus terima sijil penempatan kerja di TelBru

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Dis – Kumpulan ketiga peserta Program Pembangunan Bakat Belia TelBru yang telah berjaya menamatkan program latihan selama empat bulan bermula Ogos lalu telah menerima sijil tawaran rasmi masing-masing, hari ini.

Majlis berlangsung di Bilik Lembaga, Ibu Pejabat TelBru, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, di sini, dan penyampaian sijil telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif TelBru, David Kay.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh TelBru, surat tawaran rasmi berkenaan menunjukkan penempatan kerja mereka di unit-unit yang ditentukan di TelBru.

Turut hadir pada majlis itu ialah para pegawai pengurusan kanan dan pegawai-pegawai lain TelBru.

Menurut kenyataan itu, Program ini direka khas bagi memilih graduan baru dari pelbagai latar belakang pendidikan, yang bertujuan untuk membentuk graduan-graduan muda ini menjadi pemimpin masa depan TelBru dengan penekanan terhadap kepimpinan, kemahiran pengurusan dan pengetahuan perniagaan telekomunikasi.

David Kay bergambar ramai bersama pegawai-pegawai Kanan TelBru dan para peserta program tersebut.
David Kay bergambar ramai bersama pegawai-pegawai Kanan TelBru dan para peserta program tersebut.

Inisiatif ini mula diperkenalkan pada Julai 2013, yang telah melahirkan seramai 42 orang individu dari pada kumpulan pertama dan kedua.

Bagi kumpulan ketiga ini, seramai 19 orang graduan dari pelbagai institut dan universiti dipilih untuk menjalani program berkenaan yang merangkumi pemahaman mengenai perniagaan TelBru, membangunkan pemikiran yang menumpukan kepada pelanggan, melahirkan pemimpin masa depan dan kemahiran pengurusan yang baik dengan amalan-amalan terbaik dunia.

Mereka juga menjalani penempatan kerja di pelbagai unit TelBru dan menjalani kursus latihan kemahiran yang berbeza-beza.

ARTIKEL YANG SAMA