Peserta LDP diraikan

Peserta LDP diraikan

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Nov – Program Pembangunan Kepimpinan (LDP) Brunei-Malaysia-Singapura ke-7, yang berlangsung selama 12 hari, akan berakhir esok dan malam ini para pesertanya diraikan dalam Majlis Makan Malam Perpisahan yang berlangsung di Restoran I-Lotus.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Setiausaha Tetap di Jabatan Perdana Menteri, Awang Yahya bin Haji Idris.

Turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Tetap di Jabatan Perdana Menteri, Awang Mohd Riza bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos, wakil-wakil kedutaan Malaysia dan Singapura di Brunei Darussalam serta Pengarah Institut Perkhidmatan Awam (IPA), Hajah Norezan binti Haji Hambali.

Majlis penutup itu turut menyaksikan ucapan penghargaan daripada wakil ketiga-tiga buah negara dan pertukaran cenderamata serta penyampaian sijil.

Awang Yahya (tengah) bersama tetamu lain hadir pada Majlis Makan Malam Perpisahan LDP.
Awang Yahya (tengah) bersama tetamu lain hadir pada Majlis Makan Malam Perpisahan LDP.
Pertukaran cenderamata di antara wakil tiga buah negara yang menyertainya.
Pertukaran cenderamata di antara wakil tiga buah negara yang menyertainya.
Awang Yahya semasa menyempurnakan penyampaian sijil kepada salah seorang peserta LDP.
Awang Yahya semasa menyempurnakan penyampaian sijil kepada salah seorang peserta LDP.

LDP merupakan program tahunan di antara IPA, Brunei Darussalam, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Malaysia dan Institut Perkhidmatan Awam (CSC) Singapura dengan tahun ini ia dihoskan bersama oleh ketiga-tiga buah negara.

Program tahun ini yang bertema ‘Perkhidmatan Inovasi’, dimulakan di CSC, Singapura pada 16 November lalu dan diteruskan di Malaysia pada 20 sehingga 23 November dan diakhiri di Brunei Darussalam pada 25 sehingga 27 November.

Program ini mewujudkan platform pertukaran pengalaman, pengetahuan dan idea-idea di antara ketiga-tiga perkhidmatan awam dalam menguruskan hal ehwal urus tadbir.

Ia juga diharap untuk memberi peluang kepada para peserta untuk berinteraksi dalam merangsang perbincangan mengenai mekanisme pengendalian dasar awam dan menggunakan cara-cara kreatif untuk mengatasi cabaran-cabaran yang ada.