Peserta Maulu...

Peserta Maulud Nabi terima sijil

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Feb – Seramai 49 orang peserta Perarakan Maulidur Rasul Rancangan Perumahan Negara (RPN) Meragang dan 22 ahli Biro Wanita dan Muslimah RPN Meragang, semalam, menerima sijil penyertaan dan penghargaan sempena Sambutan Maulud Nabi S.A.W bagi tahun 1438H.

Penyampaian sijil telah disempurnakan oleh Pengarah Hal Ehwal Masjid, Haji Rajid bin Haji Mohd Salleh selaku tetamu kehormat majlis yang berlangsung di rumah Timbalan Pengerusi Ahli Jawatankuasa RPN Meragang di Jalan Kamangsi Timur, RPN Meragang, Haji Sohaili.

Dalam ucapannya, Haji Sohaili berkata, penyertaan di Majlis Perarakan Maulidur Rasul bagi RPN Meragang merupakan yang pertama kalinya dan disertai oleh belia yang berumur 10 tahun sehingga warga emas.

“Saya amat mengagumi ukhuwah yang terjalin di kalangan warga melalui pasukan Maulidur Rasul yang telah menunjukkan semangat dan komitmen yang amat memberangsangkan. Perkara ini telah membuka pandangan saya lebih jauh ke hadapan dan menyeru semua ahli-ahli pasukan bagi meneruskan semangat juang dan komitmen mereka,” ujarnya.

Salah seorang peserta perarakan Maulud Nabi menerima sijil penghargaan.
Salah seorang peserta perarakan Maulud Nabi menerima sijil penghargaan.
Penyampaian sumbangan bagi dana masjid.
Penyampaian sumbangan bagi dana masjid.

Beliau turut menyatakan harapan bagi penubuhan kumpulan dikir, tausyeh dan sebagainya bagi mengimarahkan aktiviti-aktiviti agama.

Walaupun RPN Meragang belum mempunyai masjid, itu bukanlah sebagai alasan untuk menghindarkan diri daripada membuat aktiviti-aktiviti agama, yang mana ahli-ahli Biro Wanita dan Muslimah, Majlis Perundingan Kampung (MPK) RPN Meragang telah aktif membuat sesi-sesi latihan dan aktiviti dikir.

Mereka juga telah bersama-sama dalam menyemarakkan 10 malam terakhir sehingga kemuncak 12 Disember 2016 di mana agenda berdudun dan berdikir ke masjid-masjid telah dilaksanakan, tambah Haji Sohaili lagi.

Majlis penyampaian sijil berkenaan juga diselajurkan dengan penyampaian derma dana masjid sebanyak $200 kepada Pengarah Hal Ehwal Masjid.

ARTIKEL YANG SAMA