Peserta negara raih pingat di Filipina

Peserta negara raih pingat di Filipina

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Mei – Nadira Pang Mohd Rais Pang berjaya meraih pingat gangsa bagi acara Lawan Pedang Kadet Wanita setelah kejayaan Anaqi Danish Asahrin baru-baru ini memenangi pingat perak dalam Kategori Pedang Kadet Individu Lelaki (di bawah 17 tahun) di dalam Kejohanan Lawan Pedang Asia Tenggara Pasifik kedua tahun 2016 di Kota Pasig Filipina semalam.

Nadira Pang memenangi empat daripada enam perlawanan keseluruhan apabila menewaskan peserta Filipina dengan mata 15– 0 pada peringkat kedua sebelum menewaskan seorang lagi peserta Filipina dengan mata 15–13 di peringkat suku akhir.

Beliau terpaksa akur dengan pingat gangsa apabila seorang lagi peserta Filipina menewaskan beliau dengan mata 15–10 iaitu Drew Celsorta yang kemudiannya tewas di tangan peserta Vietnam Nguyen Thi Quynh.

Seorang lagi peserta pedang wanita negara iaitu adik kepada Nadira Pang iaitu Naila Nasibah Pang tidak berjaya melangkah ke peringkat kedua setelah tewas di peringkat kumpulan.

Sementara itu, semalam Anaqi Danish Asahrin memenangi pingat perak dalam Kategori Pedang Kadet Individu Lelaki (bawah 17 tahun).

Barisan pemain lawan pedang negara bersama Jurulatih Rocky Poerawinata.
Barisan pemain lawan pedang negara bersama Jurulatih Rocky Poerawinata.

Dalam kejohanan itu Anaqi beroleh tiga kemenangan daripada lima perlawanan dan berada di kedudukan ke-10 keseluruhan untuk membolehkan beliau mara ke pusingan kedua kejohanan sebelum bertemu peserta Australia di peringkat separuh akhir.

Beliau menewaskan Jack Snell dari Australia itu dengan mata 15–7 sebelum menumpaskan seorang lagi peserta dari Australia iaitu Jeremy Min dengan mata 15–14.

Dalam peringkat akhir, sekali lagi Anaqi terpaksa berhadapan dengan peserta Australia yang memberikan beliau saingan hebat iaitu Jeremy Siu yang akhirnya berjaya menewaskan beliau dengan mata 15–19.

Hadir menyempurnakan penyampaian hadiah kepada barisan pemenang di sana ialah Presiden Persekutuan Lawan Pedang Asia, Dr. Celso Dayrit.

Seramai 13 peserta Brunei menyertai kejohanan tahun ini dalam bahagian kadet dan junior dan delegasi Filipina adalah barisan pertama sebelum diikuti barisan kedua pada 25 Mei ini bagi menyertai bahagian junior 26 Mei 2016 ini nanti.

Menurut Setiausaha Agung Persekutuan Lawan Pedang Brunei Darussalam, Kapten (U) Nashrin Maksin menegaskan permulaan peserta negara di tahap yang baik dan berharap kita akan terus meraih kejayaan dalam acara yang lain lagi.