Peserta negara raih pingat Trifecta di Spartan Beast

Peserta negara raih pingat Trifecta di Spartan Beast

Oleh Fauziah Tahir

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Okt – Peserta wanita negara, Juliana Jamaluddin yang juga dikenali sebagai Julia Sanchez berjaya mencapai sasaran kecergasannya apabila berjaya menamatkan tiga larian bagi Kategori Sprint, Super Elite Women dan Beast Elite Women dalam tempoh 12 bulan.

Beliau juga berjaya memperolehi Pingat Trifecta dan berada di kedudukan ke-15 daripada 26 wanita dari pelbagai negara pada Acara Spartan Beast yang telah diadakan Taman Rimba Alam, Presint 15, Putrajaya, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

“Saya sangat gembira dengan Pingat Trifecta saya dengan ranking saya yang menduduki di tangga ke-15 daripada 26 wanita dari pelbagai negara,” jelasnya ketika ditemui oleh wartawan.

Menurutnya lagi, kategori yang disertainya adalah amat sukar berbanding dengan Kategori Terbuka, di mana beliau harus menempuhi cabaran larian sejauh 20 kilometer melalui kawasan yang berbukit dan mengharungi 25 halangan bersama peserta elit lain.

Juliana dan Andy Sofian.
Juliana dan Andy Sofian.

“Saya telah berkongsi semua aktiviti lasak saya dalam media sosial untuk memberi inspirasi kepada semua orang untuk mengambil bahagian dalam sukan sebagai gaya hidup yang sihat bagi warga Brunei,” tambahnya lagi.

Sementara itu, seorang lagi peserta negara yang mengambil bahagian dalam Kategori Lelaki Terbuka Spartan Beast ialah Andy Sofian bin Haji Mamit yang berjaya memperolehi Pingat Trifecta dan berada di ranking 86 daripada 138 peserta.

Matlamat mereka bagi kecergasan 2017 ialah untuk mencuba lebih banyak aktiviti yang lebih mencabar dan mengalu-alukan orang ramai untuk menyertai mereka.