Peserta negara raih tempat ke-34 Super Spartan

Peserta negara raih tempat ke-34 Super Spartan

KUALA LUMPUR, 21 Mac – Peserta dari Negara Brunei Darussalam, Julia Sanchez berjaya meraih tempat ke-34 daripada 66 peserta yang mengambil bahagian di Super Spartan 2016 yang telah diadakan di Canary Garden, Bandar Bestari, Klang, Kuala Lumpur kelmarin.

Beliau yang mengambil bahagian dalam Kategori Wanita Elit berjaya menamatkan larian sejauh lebih 13km dan melintasi lebih 24 halangan sebelum ke garisan penamat.

“Saya berpuas hati dengan pencapaian saya di Wanita Elit dengan masa 2 jam, 43 minit dan 37 saat dan mendapat posisi ke-34 dari 66 peserta lainnya. Saya berharap semoga aktiviti saya ini akan menjadi inspirasi kepada belia-belia muda dan juga para suri rumah tangga,” jelas beliau ketika ditemu bual media.

(Dari kiri) Mohd Zualizuddin, Julia, Endy Soffian.
(Dari kiri) Mohd Zualizuddin, Julia, Endy Soffian.

Julia yang sebelum ini pernah menyertai pertandingan di Singapura Spartan Sprint dan Kuala Lumpur Spartan Sprint tahun lalu telah memilih untuk menyertai pertandingan tersebut bagi mencabar kemampuan dirinya.

Antara peserta Brunei yang juga menyertai pertandingan tersebut ialah Endy Soffian dan Mohd Zulaizuddin.

Julia juga akan menyertai pertandingan Spartan Beast (lari20+km lalu 30+halangan) nanti yang akan melayakkannya untuk mendapatkan pingat Spartan Trifecta.

ARTIKEL YANG SAMA