Peserta penjara terima sijil Kursus Marbut

Peserta penjara terima sijil Kursus Marbut

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 April – Tujuh peserta penghuni Penjara Maraburung telah menamatkan Kursus Marbut dan menerima sijil masing-masing yang disampaikan oleh Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Haji Brahim bin Haji Ismail dalam satu majlis yang berlangsung baru-baru ini.

Kursus anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dengan kerjasama Jabatan Penjara, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) dan Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), itu antara lain bertujuan memberikan ilmu dan pengetahuan mengenai peranan dan tanggungjawab seorang marbut.

Sepanjang kursus yang bermula dari 15 Februari hingga 10 Mac itu, para peserta telah berpeluang untuk mengikuti kelas-kelas bimbingan seperti menghalusi bab solat, bacaan Al-Quran dan penyempurnaan jenazah di bawah bimbingan empat orang tenaga pengajar dari Jabatan Hal Ehwal Masjid.

Peserta dan pegawai yang menghadiri Kursus Marbut bergambar ramai.
Peserta dan pegawai yang menghadiri Kursus Marbut bergambar ramai.

Program tersebut juga merupakan usaha Jabatan Penjara dalam meningkatkan kerjasama dengan pihak-pihak yang relevan khususnya program pengintegrasian penghuni tempatan ke dalam masyarakat kelak.

Turut hadir ialah Pemangku Pengarah Penjara, Haji Ismail bin Haji Murat dan juga Pemangku Penolong Pengarah Hal Ehwal Masjid, Haji Amir Hisyam bin Haji Masri.

ARTIKEL YANG SAMA