Peserta Riadah Berbasikal Keputeraan 2016 dirai

Peserta Riadah Berbasikal Keputeraan 2016 dirai

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Ogos – Riadah Berbasikal Keputeraan 2016 telah dapat membuktikan bahawa sukan dapat membawa kepada perpaduan dan keamanan di samping menggalakkan sektor pelancongan dan ke arah kesihatan.

Kemeriahan acara berkenaan ditambah lagi dengan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, bercemar duli menyertai sukan riadah berkenaan bersama ratusan peminat berbasikal.

Sehubungan itu bagi meraikan kejayaan acara penuh signifikan dan bersejarah yang julung-julung kalinya diadakan pada 14 Ogos 2016 itu, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) hari ini mengadakan Majlis Penghargaan Riadah Berbasikal Keputeraan bagi meraikan para peserta yang telah menyertai acara 70km bertempat di Bilik VIP, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

Hadir pada majlis berkenaan ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang peserta acara 70km Riadah Berbasikal Keputeraan 2016 di Bilik VIP, Stadium Negara Hassanal Bolkiah kelmarin. – Gambar Yusrin Junaidi

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi, para pegawai dan jemputan lainnya yang menghadiri Majlis Penghargaan Riadah Berbasikal Keputeraan kelmarin.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi, para pegawai dan jemputan lainnya yang menghadiri Majlis Penghargaan Riadah Berbasikal Keputeraan kelmarin.

Majlis bermula dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat sebelum diteruskan dengan penyampaian sijil penghargaan kepada para peserta Riadah Berbasikal Keputeraan dan Persekutuan Basikal Brunei Darussalam yang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis.

Para peserta acara berbasikal sejauh 70km itu terdiri daripada atlet kebangsaan, jurulatih basikal, ahli-ahli Persekutuan Basikal Brunei Darussalam, ahli kelab-kelab yang berdaftar di bawah persekutuan tersebut, wakil-wakil kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan serta para belia.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah para pegawai kanan, pegawai-pegawai dan kakitangan KKBS dan juga para jemputan lainnya.

ARTIKEL YANG SAMA