Peserta SBYLEP lawat Fitness Zone, iCentre

Peserta SBYLEP lawat Fitness Zone, iCentre

Oleh Siti Nur Wasimah S & Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Okt – Seramai 30 orang peserta Program Pertukaran Kepimpinan Belia Singapura-Brunei (SBYLEP) 2015, hari ini, meneruskan program lawatan mereka dengan mengadakan lawatan ke Fitness Zone, Kiulap bagi sesi dialog bersama Wu Chun yang baru-baru ini telah menerima Anugerah Belia Cemerlang.

Semasa dialog berkenaan, Wu Chun yang merupakan pelakon terkenal antarabangsa telah berkongsi pengalamannya dan cara-cara untuk mengharungi cabaran pada masa kini sebagai seorang belia serta berkongsi minat beliau dalam membina kehidupan yang sihat.

Selain daripada lawatan ke Fitness Zone, rombongan pemimpin belia termasuk 14 dari Singapura dan 16 dari Brunei Darussalam itu, hari ini, turut mengadakan lawatan ke Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB) di iCentre, Taman Teknologi Anggerek Desa, Berakas, di sini.

Lawatan tersebut memberikan peluang kepada para belia berkenaan untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ekosistem inovasi Brunei Darussalam, industri teknologi, inisiatif dan program yang dijalankan di bawah BEDB bagi mempromosikan perusahaan dalam kalangan belia-belia Brunei seperti program pembangunan permulaan, perusahaan di kampus (E@C) dan cabaran perusahaan Ignite.

Para peserta SBYLEP berkesempatan bergambar ramai bersama pelakon terkenal antarabangsa, Wu Chun (tengah).
Para peserta SBYLEP berkesempatan bergambar ramai bersama pelakon terkenal antarabangsa, Wu Chun (tengah).
Para peserta ketika mengunjungi iCentre petang kelmarin sebagai lawatan Pertukaran Belia Singapura-Brunei Darussalam.
Para peserta ketika mengunjungi iCentre petang kelmarin sebagai lawatan Pertukaran Belia Singapura-Brunei Darussalam.

Semasa lawatan itu, rombongan diberikan penerangan mengenai teknologi dan multimedia di Brunei Darussalam, termasuk kemudahan seperti iCentre, Knowledge Hub dan bangunan Design and Technology yang bertujuan untuk mengangkat budaya inovasi di negara ini.

Taklimat juga disampaikan oleh Pengurus Pembangunan Perniagaan BEDB, Dayang Lela Suhailee, yang menyentuh mengenai ‘Sumber-sumber Pembangunan Belia’, organisasi bukan untung yang dikendalikan oleh BEDB bagi mempelawa, mempromosi dan membantu peniaga kecil melalui pelbagai program terutama belia dan yang tidak mempunyai pekerjaan.

SBYLEP bertemakan ‘Towards Excellent Youth’ ini, yang telah bermula pada 4 Oktober lalu sehingga esok, diadakan buat kali kedua selepas yang pertama di Singapura tahun lalu, dan merupakan kesinambungan daripada lawatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke Singapura pada tahun 2014.

Ia bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan dua hala di antara Brunei dan Singapura di samping berkongsi pengalaman-pengalaman dalam memupuk kalangan belia muda ke arah kejayaan pada masa hadapan.

ARTIKEL YANG SAMA