Peserta SSEAYP pulang dengan selamat

Peserta SSEAYP pulang dengan selamat

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Dis – Para peserta Negara Brunei Darussalam yang menyertai Program Kapal Belia Asia Tenggara ke-42 (SSEAYP), pulang ke tanah air dengan selamat dan disambut dengan sorakan dan pelukan daripada ahli keluarga yang menanti mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, kelmarin.

Setelah menamatkan program selama 51 hari bermula 27 Oktober hingga 16 Disember yang dikelolakan bersama oleh kerajaan Jepun dengan negara-negara Asia Tenggara, jelas kelihatan di wajah para peserta perasaan sedih berpisah dengan teman seperjuangan mereka walaupun gembira dapat bertemu semula dengan ahli keluarga mereka.

Kontinjen negara seramai 28 orang belia, terdiri daripada 14 orang lelaki dan 14 orang perempuan yang diketuai oleh Pengiran Anak Mohd Sofian bin Pengiran Anak Haji Ibrahim itu dialu-alukan oleh Pemangku Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan, Awang Azizul Azri bin Haji Majit selaku wakil peribadi pengarah Jabatan Belia dan Sukan.

Juga hadir ialah para pegawai kanan, pegawai dan kakitangan Jabatan Belia dan Sukan, ahli-ahli keluarga dan sahabat handai peserta program berkenaan.

Awang Azizul Azri mengalu-alukan ketibaan kontinjen peserta kapal belia itu.
Awang Azizul Azri mengalu-alukan ketibaan kontinjen peserta kapal belia itu.
Bacaan doa selamat setelah kontinjen kembali dengan selamat.
Bacaan doa selamat setelah kontinjen kembali dengan selamat.

Pada majlis kepulangan itu, Awang Azizul menyatakan harapan supaya para peserta akan menggunakan pengalaman yang diperoleh dengan sebaik-baiknya sebagai platform untuk menjadikan mereka lebih berkeyakinan, proaktif dan produktif serta mampu menjadi pemimpin pada masa akan datang.

Beliau turut berharap para peserta akan lebih komited dalam melaksanakan kegiatan-kegiatan, terutamanya yang menjurus kepada program melibatkan para belia dan kesukarelaan yang dapat membentuk kepada pembangunan belia negara.

Di samping itu, para peserta juga diingatkan untuk melaksanakan beberapa program atau projek yang berkaitan dengan isu-isu semasa melalui kegiatan lepas program (PPA) dan untuk membuat laporan mengenai program atau projek yang dilaksanakan kepada pihak penganjur SSEAYP dan Jabatan Belia dan Sukan serta Alumni SSEAYP.

Negara Brunei Darussalam buat kali ke-30 telah menyertai SSEAYP ke-42 sejak penyertaan rasmi pertama pada 1985, yang mana penyertaan kali ini melibatkan seramai 330 orang peserta belia dari 11 buah negara iaitu 10 buah negara anggota ASEAN dan Jepun.

Program pertukaran belia antarabangsa yang dilaksanakan khusus bagi para belia dari negara-negara ASEAN dan Jepun itu memberi peluang kepada para peserta untuk berinteraksi sesama mereka dan melawat serta mempelajari budaya dan kehidupan masyarakat di negara yang dilawati.

Semasa program itu, para peserta juga berpeluang untuk singgah ke Jepun dan negara-negara Asia Tenggara termasuk Filipina, Vietnam, Myanmar dan Malaysia.

Program itu dihasratkan untuk melahirkan kesefahaman dan kerjasama antarabangsa dalam kalangan para peserta untuk mengenali dan mempelajari berbagai-bagai kegiatan dalam semua aspek, cara hidup, sosial, adat budaya, politik dan pembangunan ekonomi sesebuah negara. Program itu juga diharap dapat memberikan pengalaman yang bermakna kepada para belia, di samping meningkatkan jati diri untuk menjadi rakyat yang berguna dan penerus kepimpinan pada masa depan.

ARTIKEL YANG SAMA