Peserta tamat kursus PLM terima sijil

Peserta tamat kursus PLM terima sijil

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Dis – Syarikat Pakar Tenaga Bersatu, satu organisasi latihan berdaftar, telah mengadakan Majlis Penyampaian Sijil bagi Juru Kimpal Kumpulan ke-3 yang telah berjaya menamatkan program enam bulan di Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE), Kampus Pusat Latihan Mekanik di Rimba, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian sijil kepada para peserta ialah Duta Besar Amerika Syarikat ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Craig Boyd Allen.

Menurut penganjur, program ini merupakan sebahagian daripada program kelayakan kemahiran industri dalam bidang kimpalan dan merupakan projek pilot di bawah naungan Rangka Kerja Kecekapan Industri Tenaga (EICF) oleh Jabatan Tenaga di Jabatan Perdana Menteri dan IBTE yang dilancarkan pada tahun 2014 dalam beberapa jurusan termasuk kimpalan, penggerudi, marker fitter dan scaffolding.

Syarikat Pakat Tenaga Bersatu merupakan ahli institusi pendidikan yang pertama bergabung dengan Persatuan Kimpalan Amerika (AWS) yang merupakan pihak berkuasa standard kimpalan terkemuka di dunia.

Gambar ramai penerima sijil dan anugerah bersama tetamu kehormat majlis.
Gambar ramai penerima sijil dan anugerah bersama tetamu kehormat majlis.

Pengurus Syarikat Pakar Tenaga Bersatu, Pengiran Hishamuddin Alli bin Pengiran Jaya Indera Pengiran Haji Mokhtar Puteh berkata sejurus selepas menamatkan program ini, juru kimpal berkenaan disahkan sebagai profesional berkelayakan bertaraf antarabangsa bagi peringkat 3G dan 6G.

Menurut beliau, kesemua 23 juru kimpal dianugerahkan kelayakan kimpalan 3G dan 19 lagi bagi peringkat 6G daripada AWS dan kini bekerja di beberapa buah syarikat industri tenaga tempatan.

Program ini memberikan fokus kepada kecekapan teknikal dan profesional termasuk terlibat dengan latihan pembangunan Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar (HSE) serta kemahiran keusahawanan, motivasi, kreati-viti, kemahiran pembentangan, kepemimpinan, profesionalisme, tanggungjawab sosial kor-porat dan kerja berpasukan.

ARTIKEL YANG SAMA