Peserta tempatan raih juara bina badan di negara jiran

Peserta tempatan raih juara bina badan di negara jiran

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 11 Mac – Awang Rezal bin Johari berjaya meraih gelaran ‘Juara Antara Juara’ di Kejohanan Bina Badan Mr 360 tahun ini yang berlangsung di Bintang Megamall, Miri, baru-baru ini.

Beliau memenangi gelaran tersebut bagi kategori 70kg atas selepas menewaskan peserta-peserta yang lain dan seterusnya diundi sebagai johan bagi ‘Juara Antara Juara’ apabila bertemu dengan juara kategori bawah 70kg Awang Azri bin Asmat Sefri.

Awang Rezal ketika ditemui Media Permata menyatakan perasaan yang tidak menyangka akan diumumkan sebagai johan kategori serta jaguh ‘Juara Antara Juara’.

“Saya rasa macam tidak percaya sahaja semasa diumumkan, apa-apa kemenangan ini adalah rezeki dari Allah S.W.T dan saya rasa bersyukur atas kemenangan serta berterima kasih kepada semua rakan dan kawan seperjuangan saya, keluarga saya dan kepada pengasas EMI Gym Awang Rahemi bin Haji Abdul Manaf yang telah memberi sokongan kepada saya semasa berlatih di sana,” jelasnya lagi.

Awang Rezal meraih gelaran ‘Juara Antara Juara’ bagi kategori 70kg.
Awang Rezal meraih gelaran ‘Juara Antara Juara’ bagi kategori 70kg.

Jelasnya dengan kemenangan ini, beliau menyarankan agar peminat serta pengiat seni badan di Brunei untuk memajukan diri, mencuba nasib dengan memasuki pertandingan-pertandingan seni badan tempatan dan luar negara serta berusaha lebih gigih dalam latihan sebagai satu persediaan kelak.

Mengulas mengenai latihan persediaannya, Awang Rezal, 40, yang berasal dari Kampung Perpindahan Lambak Kanan ini memberitahu beliau berlatih selama dua minggu untuk menurunkan berat badan serta mengambil diet pemakanan yang sihat.

Menurut laporan dari akhbar tempatan di Miri, Kategori Badan Cantik (bakat baharu) didominasi pasukan Brunei dan gelaran juara, naib juara dan tempat ketiga masing-masing diraih oleh Awang Asnie bin Idris, Awang Mohd Anif bin Zahari dan Awang Nazrul bin Azizi.

Kejohanan anjuran 360 Gym dengan kerjasama Persatuan Bina Badan Bahagian Miri itu berjaya menarik penyertaan lebih 50 orang penggiat bina badan dari seluruh Sarawak, Kuala Lumpur, Brunei dan Indonesia.

ARTIKEL YANG SAMA