Peserta YSEALI kongsi pengalaman

Peserta YSEALI kongsi pengalaman

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 April – Para peserta Young Southeast Asian Leader Initiative (YSEALI) hari ini berkongsi pengalaman mereka dengan pengamal media ketika mengikuti kursus dan bengkel jangka singkat di Amerika Syarikat dan Indonesia, dalam majlis pertemuan dengan wartawan di Starbucks, Kompleks Membeli-belah Mabohai.

Perkongsian itu turut dihadiri Pegawai Perhubungan Awam dari Kedutaan Amerika Syarikat, Edward Findlay.

Empat peserta YSEALI itu ialah Dayang Halimatul Hanisah binti Haji Nasir, Awang Muhammad Firdaus bin Haji Ismail, Awangku Mohd Izwan Shafuan bin Pengiran Mohd Daud dan Haji Abdul Azim bin Haji Mohd Said.

Peserta yang terpilih ini telah menjelajahi beberapa buah tempat dan negeri di Amerika Syarikat dan Indonesia dan telah pun menjalani kursus-kursus pendek akademik intensif di institut-institut untuk memahami Amerika Syarikat dan dalam masa yang sama untuk meningkatkan lagi kemahiran kepimpinan mereka.

Dayang Halimatul dan Awang Muhammad Firdaus mengikuti YSEALI Generation: Oceans Workshops di Jakarta Indonesia pada 16 hingga 20 Mac 2016 yang lalu.

Empat peserta YSEALI bersama Edward Finlay pada majlis perkongsian pengalaman itu. - Gambar oleh Muiz Matdani
Empat peserta YSEALI bersama Edward Finlay pada majlis perkongsian pengalaman itu. – Gambar oleh Muiz Matdani

Mereka mengikuti syarahan yang memfokuskan isu-isu laut dan pantai serantau dan global dengan berinteraksi dan berbincang bersama lebih 60 peserta dari rantau Asia Tenggara.

Dayang Halimatul antara lain menyatakan mengenai kemusnahan hutan bakau yang hidup subur di kawasan pantai dan bagaimana pertumbuhan ini sangat penting untuk dilindungi.

Awang Muhammad Firdaus pula melahirkan mengenai kebimbangan kenaikan paras laut dan kepentingan penjagaan persisiran pantai terutama sekali semasa bencana alam.

Kedua-duanya menjelaskan mengenai pengalaman lawatan mereka ke Nusantara Thousand Island dan usaha mereka untuk mempromosikan cara mengekalkan pertumbuhan dan kesihatan ekosistem.

Sementara itu Awangku Mohd Izwan menyertai International Civil and Human Rights di bawah YSEALI Academic Fellowship on Civic Engagement di Amerika Syarikat.

Beliau belajar banyak perkara yang antara lainnya ialah cara pemerintahan tanpa pengganasan yang digunakan oleh Martin Luther King Jr. salah seorang pemimpin di African-American Civil Rights Movement dalam perjuangan menentang pengasingan di Amerika Syarikat pada tahun 1960an.

Awangku Mohd Izwan dan rakan sekumpulan mereka yang lain yang terdiri dari peserta di rantau Asia Tenggara yang lain, mempelajari mengenai penglibatan sivik dan menumpukan pembangunan di Amerika Syarikat dan tajuk-tajuk seperti kewarganegaraan, pembangunan masyarakat, pembangunan ekonomi, akar umbi aktivitisme, kepimpinan politik dan sukarelawan.

Beliau juga menemui pemimpin masyarakat, peniaga-peniaga dan wakil-wakil dari organisasi bukan kerajaan dan melawat Washington DC semasa mempelajari isu-isu politik dan seterusnya mengenai politik kebudayaan di Amerika Syarikat.

Manakala, Haji Abdul Azim pula menyertai YSEALI Academic Fellowshipp on Social Entrepreneurship dan Pembangunan Ekonomi di Amerika Syarikat di mana beliau mempelajari mengenai keusahawanan yang membincangkan tentang isu-isu sosial.

Beliau menerangkan isu-isu yang memfokuskan pembangunan, sejarah, cabaran dan kejayaan usahawan sosial dan kepimpinan masyarakat di Amerika Syarikat dan secara global.

Antara tajuk-tajuk yang disentuh dalam kursus beliau itu ialah perdagangan, pelaburan, literasi kewangan, perbankan, kewangan mikro, pembangunan dan pengurusan organisasi, pasaran baru muncul, analisis risiko dan banyak lagi.

Haji Abdul Azim juga menyentuh mengenai sejarah peribumi Amerika Syarikat dan budaya yang membentuk masyarakat berwarna-warni di Amerika Syarikat.

Beliau seterusnya menyentuh mengenai isu-isu sosial dalam aras pengetahuan yang diketahui oleh para peserta yang mengetahui Negara Brunei Darussalam.

Katanya, hanya para peserta yang datang dari negara jiran seperti Singapura, Malaysia dan Indonesia yang mengetahui tentang Brunei tetapi yang lainnya masih belum mengetahui negara ini.