Peserta YSEALI kongsi pengalaman

Peserta YSEALI kongsi pengalaman

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Ogos – Tiga remaja tempatan yang menyertai kumpulan Inisiatif Pemimpin Remaja Asia Tenggara (YSEALI) ke Minggu Permulaan ASEAN di Kuala Lumpur, bertemu pemberita hari ini untuk mengongsikan pengalaman mereka.

Hadir pada sidang media yang berlangsung Kompleks Membeli-belah Mabohai itu ialah Setiausaha Kedua Pejabat Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Negara Brunei Darussalam, Edward F Findlay, selaku Pegawai Perhubungan Awam kedutaan itu.

Salah seorang daripada mereka, Dayang Aimi Norhiza binti Ramlee telah ditaja oleh kerajaan AS untuk menghadiri Sidang Kemuncak Keusahawanan Global yang berlangsung Nairobi, Kenya pada 26 Julai 2015.

Beliau juga merupakan mentor bagi kumpulan Inisiatif Pemimpin Remaja Asia Tenggara (YSEALI) ke Minggu Permulaan ASEAN yang berlangsung di Kuala Lumpur, Malaysia pada 4 hingga 6 Ogos lalu.

Dari kiri: Awangku Mohd Dinie Hafizuddin, Suriatizah dan Aimi Norhiza sewaktu ditemu bual pemberita.
Dari kiri: Awangku Mohd Dinie Hafizuddin, Suriatizah dan Aimi Norhiza sewaktu ditemu bual pemberita.

Peserta kedua ialah Awangku Mohd Dinie Hafizuddin bin Pengiran Azman yang merupakan anggota kumpulan YSEALI yang memenangi Bengkel Alam sekitar Generasi: Bumi yang berlangsung pada 22 hingga 25 April 2015 di Siem Reap, Kemboja.

Awangku Mohd Dinie Hafizuddin juga merupakan penerima tajaan kerajaan AS untuk menyertai lawatan sambil belajar selama tiga minggu ke AS pada 25 Julai hingga 15 Ogos lalu.

Peserta ketiga, iaitu Dayang Suriatizah binti Abdul Rani juga merupakan anggota kumpulan YSEALI yang memenangi Minggu Permulaan ASEAN di Kuala Lumpur akan berlepas ke AS atas tajaan kerajaan AS untuk bertemu dengan para usahawan dari beberapa syarikat utama dalam industri teknologi di AS.

ARTIKEL YANG SAMA