Pesta Belait meriahkan KB Mei ini

Pesta Belait meriahkan KB Mei ini

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 11 April – Daerah Belait dijangka bakal menjadi tumpuan bukan sahaja penduduk tempatan malah pelancong luar apabila Pesta Belait diadakan secara besar-besaran di beberapa lokasi strategik di daerah ini menjelang Mei depan.

Pesta yang dijadualkan bermula awal Mei depan itu bukan sahaja dihasratkan sebagai penarik pengunjung ke daerah ini, malahan untuk meningkatkan aktiviti ekonomi serta memberikan peluang berniaga kepada pengusaha-pengusaha kecil dan sederhana di daerah ini khususnya.

Ahli Majlis Mesyuarat Negara yang juga selaku Ketua Kampung Mumong, Yang Berhormat Haji Mohd Yusof bin Dulamin memberitahu, Biro Ekonomi Majlis Perundingan Kampung (MPK) Mumong, akan menjadi rakan bersama pihak berkuasa di Jabatan Daerah Belait dan Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria selain dua buah syarikat swasta, Syarikat RYS Entertainment dan Syarikat Izswan bagi mengendalikan pesta selama sebulan yang dijangka akan bermula pada 6 Mei nanti.

Menurutnya, pesta berkenaan merupakan yang terbesar pernah diadakan setakat ini dan ia dihasratkan sebagai pelantar menjual produk-produk dan perkhidmatan pengusaha-pengusaha kecil dan sederhana.

Sebanyak 152 tempat jualan telah diperuntukkan di tiga buah kawasan bersambung yang berpusat di kawasan jalan bulatan di Jalan Panglima, Jalan Tengah dan Jalan Sungai menuju ke Kuala Belait (KB).

Sementara itu, kawasan yang sudah popular dalam kalangan pengunjung iaitu Gerai Tudung Saji akan dijadikan ‘zon makanan’ dengan menyediakan 44 buah gerai yang menjual makanan yang telah dimasak, di samping 12 bahagian ala restoran yang turut menyediakan keselesaan pengunjung untuk duduk dan makan di sana. Di samping itu, sepuluh lagi tempat juga akan disediakan di zon berkenaan bagi peniaga yang menyediakan ruang makan yang berkonsepkan sebuah taman.

Di kawasan berhadapan, di Jalan Panglima pula disediakan tempat jualan berhawa dingin, termasuk ditempatkan surau, pentas dan kawasan aktiviti bagi acara pertandingan sukan, dan Yang Berhormat Haji Yusof memberitahu, majlis-majlis perundingan kampung boleh menyewa petak-petak di kawasan berkenaan untuk pameran produk kampung dan perkhidmatan secara percuma.

Manakala itu, bersebelahan dengan kedua-dua zon di kawasan Dermaga Kuala Belait bersebelahan dengan V Plaza akan menjadi ‘Fun Zone’ di mana kira-kira enam kawasan akan disewakan bagi aktiviti-aktiviti riadah seperti menunggang basikal, menunggang kuda, flying fox dan sebagainya.

Pengarah Syarikat Izswan, Awang Morni bin Haji Zakaria dan Pengurus Pembangunan Bisnes RYS Entertainment, Awang Foo Kian Ming memberitahu, setakat ini lebih 20 peratus daripada sejumlah 152 tempat jualan yang disediakan sudah ditempah oleh kalangan peniaga.

Menurut Awang Foo, pesta ini dianjurkan untuk memberikan sesuatu kepada semua orang di sini, termasuk berbagai-bagai persembahan pentas, selain acara sukan, pelbagai makanan boleh diperolehi dan tidak ketinggalan keperluan runcit.

Manakala itu, Awang Morni pula memberitahu, sebahagian daripada hasil jualan akan disumbangkan kepada Tabung Kebajikan Daerah Belait.

Sehubungan itu, orang yang berminat untuk menyertai pesta ini bolehlah menghubungi RYS Entertainment di talian 3347951/2 atau Syarikat Izswan di talian 3347464.