Pesta Besar-Besaran Thai pada Pesta Pengguna ASEAN

Pesta Besar-Besaran Thai pada Pesta Pengguna ASEAN

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Mei – Orang ramai di negara ini akan berpeluang mendapatkan pelbagai produk Thailand dalam Pesta Besar-Besaran Thailand yang akan diadakan semasa acara tahunan Pesta Pengguna ASEAN pada 10 hingga 14 Jun depan di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Pesta besar-besaran berkenaan merupakan projek kerjasama di antara Kedutaan Diraja Thailand di Brunei Darussalam dengan usahawan-usahawan dari Thailand dan ahli perniagaan Thailand di Brunei, bagi memberikan peluang kepada pengunjung pesta pengguna berkenaan menyaksikan sepintas lalu mengenai gaya hidup dan kekayaan budaya negara itu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, sepanjang pesta itu nanti, pengunjung pasti akan tertarik dengan keunikan hasil tangan negara itu, seperti lukisan payung, ukiran buah-buahan dan sayur-sayuran, serta pembuatan tanglung dan boneka tradisi.

Pesta Besar-Besaran Thailand merupakan sebahagian daripada Pesta Pengguna sejak tahun 2009 dengan bantuan D’Sunlit Sdn Bhd dan kerjasama serta sokongan Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama dan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan.

Pesta itu nanti akan menampilkan pelbagai hasil kraf tangan unik dari Thailand.
Pesta itu nanti akan menampilkan pelbagai hasil kraf tangan unik dari Thailand.

Pesta Pengguna ASEAN akan memaparkan pelbagai produk dari negara-negara ASEAN dengan tema tahun ini Celebrating Diversity.

Untuk keterangan lanjut mengenai pesta ini, orang ramai boleh menghubungi pejabat D’Sunlit di talian 2453666 atau melayari laman sesawang www.bruneiconsumerfair.com.