Pesta Bunga di Taman Agro Teknologi

Pesta Bunga di Taman Agro Teknologi

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Jun – Para penggemar pelbagai jenis hiasan bunga dan tumbuh-tumbuhan yang ingin menghias indah suasana persekitaran rumah mereka khususnya dalam menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang, bolehlah berkunjung ke Jualan Pesta Bunga Hari Raya yang berlangsung di Taman Agro Teknologi Brunei, Kampung Tungku, Gadong bermula 6 Jun lalu hingga 15 Julai ini.

Jualan kira-kira sebulan yang dikendalikan oleh KN Nursery itu diadakan di dua lokasi kawasan jualan iaitu di gerai jualan yang berhampiran kawasan masuk ke taman berkenaan yang dijalankan bermula 6 Jun lalu hingga 7 Julai ini sahaja dan di dalam rumah hijau yang dijalankan bermula 6 Jun hingga 15 Julai di mana jualan menyediakan pelbagai barangan berkualiti dengan harga yang berpatutan.

Menurut salah seorang pekerja di jualan itu, Dayang Fakhriah binti Haji Yakop, jualan itu mendapat sambutan yang amat menggalakkan di mana pelbagai potongan harga istimewa ditawarkan iaitu diskaun sekitar 20 hingga 50 peratus.

Menurutnya lagi, lebih daripada 100 spesies tumbuh-tumbuhan dijual di mana jualan pesta bunga itu mengetengahkan jualan tumbuh-tumbuhan perhiasan termasuk orkid, bunga mawar dan bunga bermusim bagi mencantikkan kawasan rumah di mana tumbuh-tumbuhan berkenaan adalah dari dalam dan luar negara.

Di samping itu, jualan juga mengetengahkan produk-produk hortikultur dan perhiasan taman seperti pasu bunga dan pasu seramik, pasu plastik, baja tumbuh-tumbuhan dan juga perhiasan taman seperti batu berwarna.

Pelbagai jualan bunga dan tanam-tanaman pada harga yang istimewa ditawarkan kepada para pengunjung.
Pelbagai jualan bunga dan tanam-tanaman pada harga yang istimewa ditawarkan kepada para pengunjung.

Jualan itu, bertujuan untuk memberikan peluang kepada orang ramai mendapatkan produk bunga dan tumbuh-tumbuhan bagi menghiasi rumah mereka, juga dihasratkan untuk mempromosikan pesta jualan bunga itu sebagai kegiatan sokongan bagi kegiatan ekopelancongan di Brunei.

Sehubungan itu, orang ramai adalah dialu-alukan untuk sama-sama berkunjung dan memeriahkan lagi pesta jualan bunga bagi mendapatkan pelbagai jenis bunga serta tumbuh-tumbuhan dengan harga yang berpatutan.

Manakala itu, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), dalam kenyataannya baru-baru ini, memaklumkan kepada orang ramai bahawa Taman Agro Teknologi ditutup sementara untuk kunjungan orang ramai bermula 6 Jun lalu bagi pembangunan lanjut sebagai kawasan pengeluaran pertanian komersial dengan penggunaan teknologi-teknologi yang akan dapat menggandakan penghasilan dengan menyasarkan kepada pasaran tempatan dan eksport.

Dayang Fakhriah (Kiri) menyatakan jualan itu mendapat sambutan yang menggalakkan.
Dayang Fakhriah (Kiri) menyatakan jualan itu mendapat sambutan yang menggalakkan.

Namun begitu, penjualan bunga-bungaan, tanaman dan bahan-bahan penanaman di rumah hijau yang dikendalikan oleh pihak swasta di taman itu masih lagi dibuka bagi kunjungan orang ramai.

Kenyataan juga menyatakan bahawa kawasan berkenaan akan ditukar nama kepada Kawasan Kemajuan Pertanian Tungku (KKP Tungku), iaitu selaras dengan nama kawasan-kawasan kemajuan pertanian lain di bawah KSSUP.

Taman itu akan dibuka semula kepada orang ramai apabila kerja-kerja pembangunan lanjut dan pemeliharaan selesai dilaksanakan dan apabila keselamatan para pengunjung difikirkan lebih terjamin.

Dalam hubungan itu, pihak kementerian memohon maaf jika penutupan taman berkenaan menimbulkan apa jua kesulitan kepada orang ramai.

ARTIKEL YANG SAMA