Pesta Damas landasan utama tampil kebudayaan bangsa sungai di Sabah

Pesta Damas landasan utama tampil kebudayaan bangsa sungai di Sabah

KINABATANGAN, 18 Julai – Penganjuran Pesta Damas menjadi landasan utama kepada Persatuan Bangsa Sungai Sabah (Sabas) menampilkan kebudayaan dan tradisional suku kaum Sungai di negeri ini.

Timbalan Presiden Sabas Datuk Juhari Janan berkata penganjuran tahun kedua pesta itu akan diadakan pada 18 dan 19 September di Kampung Sukau yang dijangka dirasmikan oleh Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Katanya kejayaan penganjuran edisi pertama pesta itu pada tahun lepas membolehkan ia dimasukkan dalam kalendar pelancongan negeri Sabah.

Penganjuran pada tahun ini akan menampilkan lebih banyak acara kebudayaan dan tradisional bagi mencungkil dan melestarikan amalan sosiobudaya suku kaum Sungai, katanya pada sidang media sebelum mempengerusikan mesyuarat persatuan itu di sini, hari ini.

Menurutnya acara utama pesta itu adalah pertandingan perlumbaan perahu Damas dan menghias perahu Damas.

Timbalan Presiden Persatuan Bangsa Sungai Sabah (SABAS) Datuk Juhari Janan (duduk enam, kanan) bergambar bersama ahli persatuan sempena mesyuarat persatuan itu hari ini. Beliau turut mengumumkan penganjuran tahun kedua Pesta Damas yang akan diadakan pada 18 dan 19 September depan di Kampung Sukau dan dijangka dirasmikan oleh Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz. – Bernama

Katanya Damas merupakan panggilan bahasa Sungai untuk perahu tradisional yang dahulunya pernah menjadi pengangkutan kaum itu khususnya di daerah ini.

Beliau berkata masyarakat bangsa Sungai terdiri daripada 32 subetnik dan populasinya telah menjangkau 270,000 orang di negeri ini.

Juhari berkata acara lain yang akan dianjurkan pada pesta itu antaranya pertandingan tarian, tagunggu, memasak makanan tradisi bangsa Sungai, sukan tradisi dan pameran kraf tangan.

Menurutnya demonstrasi membuat perahu Damas turut ditampilkan pada tahun ini bagi membolehkan orang ramai terutama generasi muda bangsa Sungai dan pelancong melihat proses membuat perahu Damas.–Bernama