Pesta Durian di Bintudoh

Pesta Durian di Bintudoh

Oleh Normazlina M.D

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Ogos – Para penggemar buah durian akan berpeluang untuk mendapatkan pelbagai jenis raja buah berkenaan pada Pesta Durian yang akan diadakan buat pertama kalinya di Bintudoh Greenspring Resort, Lamunin, Tutong pada 4 hingga 6 September depan.

Pesta selama tiga hari itu bertujuan untuk mempromosikan pelbagai jenis durian dan buah-buahan tempatan di samping dapat memperkenalkan Kampung Lamunin di Daerah Tutong yang terkenal dengan hasil buah-buahannya.

Pengasas Raw Food Asia, Mewsum Wong, semasa ditemui Media Permata, hari ini, menambah, pesta itu juga diadakan untuk memberikan pengetahuan kepada orang ramai mengenai kebaikan dan manfaat memakan buah-buahan tempatan yang segar tanpa proses atau bahan pengawet yang digunakan oleh kebanyakan negara.

Sehubungan dengan itu, orang ramai adalah dialu-alukan untuk menghadiri pesta itu nanti untuk menikmati buah-buahan tempatan terutamanya pelbagai jenis durian, di mana tiket kemasukan adalah $3 bagi orang dewasa dan $2 untuk kanak-kanak.

Pengasas Raw Food Asia, Mewsum Wong melampirkan poster Festival Durian yang akan dipaparkan kepada orang ramai.
Pengasas Raw Food Asia, Mewsum Wong melampirkan poster Festival Durian yang akan dipaparkan kepada orang ramai.

Selain itu, orang ramai juga boleh membeli kupon berharga $7 untuk menikmati buah durian yang disediakan di festival itu nanti.

Di samping mempromosikan buah-buahan tempatan, beberapa aktiviti menarik untuk pengunjung juga telah disediakan mengikut harga yang telah ditetapkan.

Antara aktiviti yang dijalankan termasuk ceramah mengenai pemakanan sihat yang akan disampaikan oleh dua penceramah undangan yang bergiat dalam pemakanan sihat iaitu Durian Rider dan Freelee the Banana Girl.

Selain itu, para pengunjung juga berpeluang mengikuti pelbagai aktiviti menarik seperti flying Fox, berkayak, sukaneka, dan bermacam-macam lagi.

Pengusaha-pengusaha tempatan khususnya yang ingin mempromosi buah-buahan mereka, ruang petak jualan masih lagi dibukakan sehingga seminggu sebelum acara pesta itu dijalankan yang mana sebanyak 50 petak jualan telah dihadkan bagi peniaga premis buah-buahan.

Pesta Durian dianjurkan bersama oleh Bintudoh Greenspring Resort, Raw Food Asia dan Az Back to Nature Tour Services serta disokong oleh Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama.

Untuk mengetahui lebih lanjut lagi mengenai pesta itu, orang ramai bolehlah menghubungi Mewsum Wong di talian 8957528 atau layari laman Facebook (Raw Food Asia Group) atau Instagram (raw_food_asia).

ARTIKEL YANG SAMA