Pesta Filem Animasi Jepun dibuka rasmi

Pesta Filem Animasi Jepun dibuka rasmi

Oleh Pg Fairol RMF

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Okt – Pesta Filem Animasi Jepun dibuka secara rasmi hari ini dan akan berlangsung sehingga 16 Oktober ini di The Core, Universiti Brunei Darussalam.

Hadir merasmikan pesta filem animasi popular itu ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohammad Yussof.

Duta Besar Jepun ke Negara Brunei Darussalam, Noriko Iki juga hadir pada acara itu dan turut berucap sejurus selepas perasmiannya.

Menurutnya, pesta ini merupakan kali kedua dianjurkan oleh Kedutaan Jepun selepas kejayaannya kali pertama pada tahun lepas. Animasi Jepun mengandungi pelbagai reka seni dan penceritaan, namun secara keseluruhan ia menyerlahkan keterperincian termasuk latar belakang. Manakala bagi jalan cerita, ia lebih banyak menyentuh mengenai hubungan romantik, kegembiraan, kekaguman, keberanian dan juga penderitaan, pergelutan, konflik serta kesedihan.

Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi hadir selaku tetamu kehormat.
Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi hadir selaku tetamu kehormat.
Para jemputan yang hadir ke majlis itu.
Para jemputan yang hadir ke majlis itu.

“Ini kerana animasi Jepun bukan sahaja untuk kanak-kanak, bahkan untuk golongan belia dan dewasa. Saya berharap pesta ini dapat meningkatkan pemahaman Jepun di negara ini dan memperkukuhkan lagi hubungan antara kedua-dua negara,” tambahnya.

Pesta tersebut bermula jam 1 hingga 6 petang dan akan menayangkan empat buah filem animasi.

Dua filem animasi akan ditayangkan pada 15 Oktober bertajuk ‘Princess Arete’ dan ‘5 Centimeters per Second’ dan dua lagi filem animasi bertajuk ‘Miyori in the Sacred Forest’ dan ‘The Place promised in Our Early Days’ akan ditayangkan pada 16 Oktober nanti.

Masuk adalah percuma, namun ia berdasarkan yang awal didahulukan.