Pesta Filem Pendek UBD

Pesta Filem Pendek UBD

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Ogos – Dalam menyambut ulang tahun pertamanya dan bersempena dengan Ulang Tahun Universiti Brunei Darussalam (UBD) ke-30 Tahun, UBD TV dengan usahasama The Creative Core BN (TCCBN) akan menganjurkan Pesta Filem Pendek UBD TV (UBDTVSFF) 2016, dengan membawa tema ‘Keraian’, pada 27 hingga 29 Ogos depan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, pesta ini adalah bertepatan dengan Musim Filem yang bertujuan untuk mengetengahkan filem-filem yang dihasilkan oleh belia-belia berbakat tempatan dan siswa-siswi UBD yang mengambil modul Pembuatan Filem Pendek.

Setiap produksi dijangka akan menghasilkan filem pendek profesional dengan durasi 12 hingga 15 minit berdasarkan kreativiti mereka, yang menekankan Melayu Islam Beraja (MIB).

Menurut kenyataan itu lagi, objektif pesta antara lain bagi mempromosikan UBD TV, The Creative Core BN (TCCBN) dan projek-projek mereka akan datang kepada orang ramai, serta mempromosikan pembikin-pembikin filem berbakat Brunei serta syarikat-syarikat kreatif yang sudah ada dan akan datang.

Di samping itu, ia juga menyediakan platform bagi pembikin-pembikin filem untuk meningkatkan bakat-bakat dan kemahiran kreatif, pada masa yang sama untuk mewujudkan peluang-peluang rangkaian dan membantu mereka membangunkan syarikat/pasukan produksi.

Ia juga diadakan untuk mengutip derma bagi UBD TV dalam mengembangkan projek-projek, membolehkan produktiviti yang efektif dan memberikan kestabilan kewangan dalam melaksanakan projek-projek yang ada dan akan datang.

Pesta filem pendek selama tiga hari berkenaan akan melibatkan elemen-elemen seperti tayangan-tayangan filem, pesta makanan, persembahan langsung dan aktiviti-aktiviti berkaitan yang lain. Menurut kenyataan itu, mesej di sebalik acara ini adalah untuk menggalakkan penggemar-penggemar filem dan pembikin filem tempatan untuk menghasilkan lebih banyak kandungan dan menjadi lebih berani untuk berkongsi hasil karya mereka.