Pesta Gambus Suku Kaum Brunei di Membakut Sabtu ini

Pesta Gambus Suku Kaum Brunei di Membakut Sabtu ini

KOTA KINABALU, 6 Okt (Bernama) – Persatuan Masyarakat Brunei Sabah (PMBS) akan mengadakan Pesta Gambus di Membakut pada Sabtu ini, kata Pengerusinya Mohd Aris Mohd Arif.

Beliau berkata penganjuran pesta itu adalah salah satu aktiviti seni kebudayaan yang dimiliki suku kaum Brunei di Sabah.

“Sempena pesta itu, pertandingan gambus dan gulintangan akan diadakan untuk memilih juara yang akan bertanding di peringkat negeri,” katanya pada sidang media di Wisma Muis, dekat sini hari ini.

Beliau berkata tiga kumpulan akan bertanding dalam acara gambus, manakala tujuh kumpulan bagi acara gulintangan.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Mohd Ariffin Arif dijangka merasmikan acara berkenaan.

Mohd Aris berkata pesta bertemakan ‘Gambus Instrumen Perpaduan’ itu akan diadakan di Dewan Sri Wawasan Pimping di Membakut, bermula 8 malam.

Beliau berkata sempena pesta itu, persembahan silat dan berdendang turut diadakan.

Pertandingan akhir peringkat negeri akan diadakan 24 Oktober ini, di Dewan Masyarakat Papar.