Pesta jana ekonomi kampung

Pesta jana ekonomi kampung

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Dis – Pesta Jualan, Pesta Pancing dan Sukan Hari Keluarga bagi Kampung Belimbing anjuran Majlis Perundingan Kampung Belimbing membuka tirainya hari ini di Taman Riadah Tasik Sarubing, Kampung Belimbing.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan perasmian pesta tersebut ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Haji Mohd ‘Abdoh bin Dato Seri Setia Haji Abd Salam dan isteri.

Turut hadir ialah Timbalan Setiausaha di KHEDN, Haji Muhammad Sunadi bin Haji Buntar dan isteri.

Ahli Majlis Mesyuarat Negara Yang Berhormat Haji Gapor@Haji Mohd Daud bin Karim yang juga selaku Ketua Kampung Belimbing dan Pengerusi Majlis dalam ucapannya menjelaskan, majlis ini bertujuan untuk memberikan peluang kepada penduduk kampung untuk memasarkan hasil produk, pertanian, buah-buahan kepada orang ramai di kawasan yang selesa dan teratur.

Haji Mohd ‘Abdoh semasa merasmikan pesta jualan.
Haji Mohd ‘Abdoh semasa merasmikan pesta jualan.
Tetamu kehormat semasa menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil Pancaragam Pasukan Sekolah Kadet Polis yang memeriahkan acara pesta jualan, kelmarin.
Tetamu kehormat semasa menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil Pancaragam Pasukan Sekolah Kadet Polis yang memeriahkan acara pesta jualan, kelmarin.
Haji Mohd ‘Abdoh menyaksikan gerai-gerai jualan.
Haji Mohd ‘Abdoh menyaksikan gerai-gerai jualan.

Selain itu, ia juga untuk menjadikan produk kampung sebagai sumber perekonomian dan pendapatan penduduk Kampung Belimbing khususnya Satu Kampung Satu Produk, di samping dapat mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan penduduk kampung berkenaan.

Antara acara sampingan yang akan diadakan, jelas Yang Berhormat lagi, termasuk Pesta Pancing yang akan diadakan esok (26 Disember), bermula jam 8 pagi dan Sukan Hari Keluarga pada 27 Disember, bermula jam 7:30 pagi dan 2:30 petang.

Pesta jualan ini merangkumi hampir 20 petak jualan yang mempamerkan produk-produk seperti pakaian, hasil pertanian, makanan dan sebagainya.

Pesta tersebut juga berkemungkinan akan dilaratkan sehingga 28 Disember, jika ia mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai.

ARTIKEL YANG SAMA