Pesta kebudayaan meriahkan sambutan Hari Keputeraan

Pesta kebudayaan meriahkan sambutan Hari Keputeraan

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 17 Julai – Persembahan Malam Puak, Kaum Etnik Daerah Belait telah menyemarakkan lagi Pentas Perayaan sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-70 Tahun bagi Daerah Belait, malam tadi.

Berbagai corak kebudayaan telah dipersembahkan termasuklah daripada masyarakat Iban, masyarakat Cina dan puak Dusun Daerah Belait.

Tarian Singa dan Naga telah membuka tirai acara tersebut, yang dipersembahkan oleh masyarakat Cina di sini, sebelum disusuli dengan persembahan Tarian Tibet.

Persembahan nyanyian daripada Kumpulan Spring, juga telah menarik perhatian para pengunjung di kawasan Pentas Perayaan Tamu Tudung Saji, Jalan Setia Diraja, di sini, yang diikuti dengan persembahan Tarian Mongolia.

Persembahan seni mempertahan diri Wushu, yang sudah tidak asing lagi di daerah ini, turut tidak ketinggalan menambah ceriakan lagi persembahan pentas berkenaan, diikuti kemudiannya dengan persembahan tarian dram, nyanyian kumpulan Jasmine dan nyanyian Kumpulan Chorus.

Para hadirin menyaksikan acara persembahan malam sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Sultan ke-70 tahun.
Para hadirin menyaksikan acara persembahan malam sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Sultan ke-70 tahun.

Berbagai acara persembahan malam bercorak kebudayaan dan keagamaan telah disusun bagi Daerah Belait 15 Julai lalu dan akan berlangsung sehingga 31 Julai ini.

Pada 15 Julai lalu, persembahan daripada pasukan beruniform yang diselaraskan oleh Persatuan Pengakap Daerah Belait membuka tirai persembahan pentas di daerah ini, diikuti dengan Persembahan Malam Puak/Kaum Etnik Daerah Belait, malam tadi, manakala itu, malam ini pula mengetengahkan Persembahan Kugiran Belia-belia.

Para peserta persembahan pentas dan ahli jawatankuasa pengawas acara bergambar ramai.
Para peserta persembahan pentas dan ahli jawatankuasa pengawas acara bergambar ramai.
Persembahan masyarakat Iban diserikan lagi dengan pakaian tradisi.
Persembahan masyarakat Iban diserikan lagi dengan pakaian tradisi.

Persembahan-persembahan lain yang akan diadakan termasuk Malam Kebudyaan dan Kesenian Islam pada malam esok, Persembahan Bercorak Keagamaan iaitu Forum Keagamaan: Manfaatkan Hari Perayaan pada malam berikutnya; Malam Antarabangsa yang akan dikendalikan bersama oleh Syarikat BSP, BLNG dan BMC, 22 Julai; Persembahan Kebudayaan Belia-belia Daerah Belait, 23 Julai; Persembahan Persatuan-persatuan Wanita Daerah Belait dan Pertandingan Bintang Kecil Keputeraan pada 24 Julai.

Pada 25 Julai pula akan diadakan Persembahan Pentarama; 26 Julai Persembahan Malam Kilauan Emas; 27 Julai Persembahan Perundingan Mukim dan Kampung Daerah Belait.

Manakala itu, Pertandingan Mukun, yang sudah tidak asing lagi dan menjadi kegemaran ramai di daerah ini pula akan mengambil tempat pada 30 Julai dan malam terakhir pada 31 Julai akan diadakan Persembahan Kugiran Lagu-lagu 60-an.

Sehubungan itu, orang ramai dialu-alukan untuk menyaksikan acara-acara persembahan berkenaan di samping mengunjungi gerai perayaan yang di kawasan Gerai Tudung Saji.

ARTIKEL YANG SAMA