Pesta Kerjaya Brunei 2016 ketengahkan Program Literasi Digital

Pesta Kerjaya Brunei 2016 ketengahkan Program Literasi Digital

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Nov – Pesta Kerjaya Brunei 2016 yang bakal diadakan di Pusat Pameran Pertahanan Antarabangsa Brunei (BRIDEX), Jerudong pada 27 hingga 29 ini, akan mengetengahkan tema ‘Realising employment excellence through capacity building, competency and performance’.

Sesuai dengan tema berkenaan, salah satu aktiviti yang akan diketengahkan semasa pameran kerjaya anjuran Jabatan Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri itu adalah Program Literasi Digital.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan hari ini, program berkenaan merupakan program-program peningkatan kemahiran dengan objektif untuk mendidik lagi para pencari kerja tempatan mengenai peranti-peranti IT, etika-etika Internet dan e-Keselamatan Rangkaian Sosial.

Sesi-sesi ini bermatlamat untuk membantu para pencari kerja menjadi lebih celik IT termasuk bagaimana menjadi lebih berjaya dalam pembentangan, spreadsheet dan bagaimana menjadi lebih cekap dan efektif dalam pemprosesan kata dan komunikasi menerusi e-mel. Menurut kenyataan itu lagi, dalam sesi-sesi ‘Know your IT devices,’ para pencari kerja akan mempelajari mengenai bagaimana peranti-peranti biasa berfungsi, beroperasi, melaksanakan penambah baikkan dan menyelesaikan masalah-masalah IT biasa.

Satu lagi sesi yang akan bermanfaat kepada pencari kerja serta orang ramai adalah sesi ‘Internet etiquettes and Social Network e-Safety.’ Objektif sesi ini adalah untuk memaklumkan orang awam mengenai trend baru rangkaian sosial dan berkongsi tip bagi membantu netizen tempatan bergaul dengan selamat dalam talian.

Pemprosesan kata merupakan satu lagi kemahiran berharga bagi pencari kerja kini, yang mana dalam sesi ‘Be effective with word Processing’ para pencari kerja akan dapat belajar cara menggunakan, menyunting, format, menggabungkan mel menggunakan perisian pemprosesan kata dengan lebih efektif. Dalam sesi, ‘Be successful with spreadsheets,’ pencari kerja juga akan berpeluang untuk mempertingkatkan kemahiran mereka dalam Excel iaitu perisian berkuasa yang dapat melakukan apa saja yang dimahukan daripadanya. Pencari kerja akan dapat meningkatkan kemahiran mereka dalam menggunakan perisian ini dengan belajar cara menapis dan format data dengan formula-formula terkini.

Sesi ‘Be successful with presentation’ pula bukan sahaja menyasarkan pencari kerja malahan mereka yang telah bekerja di mana mereka boleh belajar bagaimana menggunakan salah satu perisian pembentangan popular untuk memberikan pembentangan profesional dan dinamik, yang boleh digunakan dalam kehidupan korporat.

Akhir sekali adalah sesi ‘Be productive with email communications’ di mana para pencari kerja akan mempelajari asas komunikasi e-mel yang efektif, daripada bagaimana membuat akaun e-mel hingga mengelakkan kesilapan yang biasa dilakukan dalam komunikasi e-mel.

Kenyataan itu menyatakan bahawa menguasai komunikasi e-mel adalah penting kepada kejayaan kerjaya dan perniagaan seseorang. Kebanyakan permohonan bagi pekerjaan malah temu duga kerja kini dilakukan dalam talian. Menurut kenyataan itu, Program Literasi Digital akan berjalan sepanjang pesta berkenaan dan dibukakan untuk penyertaan orang ramai secara percuma, namun tempat duduk adalah terhad, oleh itu para pencari kerja dinasihatkan untuk memeriksa program terlebih dahulu dan tiba lebih awal.

Para pencari kerja dan sesiapa yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut bolehlah melayari laman sesawang Pesta Kerjaya Brunei di alamat www.jobfair.gov.bn.

Semasa acara itu, lebih 200 syarikat ikut serta dan menawarkan pelbagai peluang pekerjaan dari berbilang sektor. Para pencari kerja juga digesa untuk mendaftar terlebih dahulu di laman sesawang www.jobcentrebrunei.gov.bn dan membawa bersama salinan dokumen-dokumen berkaitan semasa pesta kerjaya tersebut.

ARTIKEL YANG SAMA