Pesta Kerjaya Brunei bermula 27 Nov

Pesta Kerjaya Brunei bermula 27 Nov

pg02_161117_a

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Nov – Sebagai sebahagian daripada usahanya untuk meningkatkan pekerjaan dan pembangunan rakyat Brunei, Jabatan Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri akan menganjurkan Pesta Kerjaya Brunei 2016 yang akan berlangsung selama tiga hari bermula 27 November depan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini, pesta kerjaya tahun ini yang akan diadakan di Dewan Pameran 1 dan 2, Pusat Pameran Pertahanan Antarabangsa Brunei (BRIDEX), Jerudong, ini membawa tema ‘Realising employment excellence through capacity building, competency and performance.’

Pelancarannya akan diadakan pada 27 November di Dewan Pameran 1, BRIDEX dan akan dibuka kepada kunjungan ramai bermula 10 pagi hingga 6 petang, manakala itu, pada 28 dan 29 November, ia akan dibukakan kepada orang ramai dari pukul 9 pagi hingga 6 petang. Kenyataan itu menjelaskan, pesta kerjaya bertujuan sebagai acara kebangsaan tahunan dengan objektif membantu proses memadankan kerja bagi mempromosikan pengambilan pekerja dan pembangunan tenaga kerja tempatan di seluruh industri melalui Agensi Pekerjaan Tempatan dan Pembangunan Tenaga Kerja (APTK).

APTK boleh diakses bila-bila masa sahaja, yang menyediakan tempat bagi pencari kerja melihat peluang-peluang pekerjaan di seluruh industri dan mendaftar program-program kemahiran untuk meningkatkan ‘employability’ dan kebolehpasaran mereka. Manakala itu, syarikat-syarikat juga boleh mengakses calon-calon berpotensi dalam talian.

Menjelaskan lanjut mengenai pesta kerjaya berkenaan, kenyataan itu menyatakan bahawa ia akan menawarkan peluang-peluang pekerjaan pelbagai peringkat kemahiran dan kelayakan daripada berbilang sektor seperti pembinaan, makanan dan minuman, pelancongan dan hospitaliti, pengeluaran, kesihatan, pengangkutan dan logistik, pendidikan, perbankan dan kewangan, penerbitan, industri IT dan kreatif, runcit, perkhidmatan dan telekomunikasi.

Antara aktiviti yang akan diadakan semasa acara itu termasuk kaunseling penulisan CV dan kerjaya, demonstrasi kerja, temu duga langsung, sesi-sesi perbincangan industri dan kumpulan fokus keusahawanan, sesi-sesi Program Literasi Digital dan sesi ceramah motivasi yang dibukakan kepada semua pencari kerja dan pengunjung secara amnya.

Program Literasi Digital adalah satu siri program meningkatkan kemahiran dengan objektif untuk mendidik lagi pencari kerja mengenai peranti-peranti IT, etika-etika Internet dan e-Safety Rangkaian Sosial.

Sesi-sesi ini bermatlamat untuk membantu pencari kerja, serta mereka yang telah bekerja, untuk menjadi lebih celik IT termasuk bagaimana menjadi lebih berjaya dalam pembentangan-pembentangan, spreadsheet dan bagaimana menjadi lebih cekap dan efektif dalam menaip menggunakan komputer dan komunikasi menerusi e-mel.

Menurut kenyataan itu lagi, sesi-sesi yang berkaitan dengan keusahawanan pula bermatlamat untuk menarik minat para pencari kerja supaya turut mempertimbangkan untuk menceburi bidang perniagaan.

Di samping sesi-sesi Literasi Digital, klinik-klinik penulisan CV dan temu duga juga akan diadakan secara berterusan dengan objektif untuk membantu para pencari kerja tempatan dalam usaha mereka mencari pekerjaan.

Pesta berkenaan juga akan mengetengahkan Program Rangka Kerja Kecekapan Industri (ICF), yang merupakan kerjasama di antara Jabatan Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri, Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) di bawah Kementerian Pendidikan dan pelbagai industri dan agensi yang bermatlamat untuk meningkatkan rakyat Brunei yang mempunyai kemahiran industri dan cekap.

Ini adalah selaras dengan salah satu matlamat strategik di bawah Wawasan 2035, iaitu mempunyai rakyat yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi.

Sehubungan itu, para pencari kerja dan orang ramai yang berminat adalah dialu-alukan untuk menghadiri pesta kerjaya itu nanti di mana lebih 200 syarikat menyertainya dan menawarkan pelbagai peluang pekerjaan di pelbagai sektor.

Para pencari kerja juga dinasihatkan untuk mendaftar terlebih dahulu di laman sesawang www.jobcentrebrunei.gov.bn.

ARTIKEL YANG SAMA