Pesta Kerjaya UBD dibuka

Pesta Kerjaya UBD dibuka

Oleh Siti Nur Wasimah S.

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Ogos – Dalam usaha untuk menyediakan platform kepada para pelajar bertemu para majikan dan membincangkan pelan kerjaya masa depan, Universiti Brunei Darussalam (UBD) sekali lagi mengadakan Pesta Kerjaya UBD (UBD Career Fair) berikutan kejayaan Kerjaya 101 lalu yang berlangsung di Dewan Canselor, UBD, hari ini, di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan melancarkan pesta tersebut ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) di Kementerian Pendidikan, Profesor Madya Dr. Haji Azman bin Ahmad.

Pengurus Kerjaya UBD, Gavin Crewe dalam ucapannya menjelaskan, pameran kerjaya kali ini menawarkan pelbagai siri ceramah sepanjang pameran ini dijalankan dan ia menyediakan maklumat mengenai dengan topik pendidik dan motivasi seperti topik kejayaan alumni, hidup dalam pekerjaan, panduan untuk menjadi seorang usahawan dan cara terbaik meluangkan masa semasa berada di universiti.

Di samping itu juga, pameran kerjaya tahun ini menawarkan bengkel-bengkel yang dapat membantu para pelajar agar cekap untuk mempersiapkan diri semasa mencari pekerjaan, mengikuti program latihan kerja dan sebagainya.

Sementara itu, pelajar-pelajar juga akan berpeluang untuk mendaftar dan menyertai bengkel-bengkel yang akan memfokuskan ke atas membangunkan kemahiran yang sangat diperlukan dalam mencari pekerjaan seperti penyediaan CV dan surat pengiring, kemahiran temu bual dan komunikasi, kemahiran pembentangan dan sebagainya.

Tetamu kehormat meninjau petak kerjaya Bank Baiduri.
Tetamu kehormat meninjau petak kerjaya Bank Baiduri.
Para pencari kerja mendengarkan penerangan daripada wakil salah satu petak kerjaya.
Para pencari kerja mendengarkan penerangan daripada wakil salah satu petak kerjaya.

Pesta Kerjaya UBD 2016 yang diadakan sehingga 19 Ogos nanti di Dewan Canselor UBD itu dianjurkan oleh Pusat Rangkaian, Pekerjaan dan Latihan Kerjaya UBD (UBD CoNECT) dengan sokongan Pejabat Perhubungan dan Kemajuan Alumni UBD (UBD OARA).

Petak-petak kerjaya kali ini menawarkan pelbagai peluang pekerjaan dan temu duga bagi para pelajar, alumni UBD dan pencari kerja bagi peluang-peluang pekerjaan sambilan, tetap, perantisan atau penempatan.

Pesta Kerjaya UBD ini terus menjadi salah satu daripada sokongan kerjaya yang ditawarkan oleh UBD kepada para pelajarnya dalam perjalanan pembangunan kerjaya mereka.

Penerbangan Diraja Brunei yang turut mengikuti Pesta Kerjaya UBD.
Penerbangan Diraja Brunei yang turut mengikuti Pesta Kerjaya UBD.

Pameran ini dihasratkan untuk mengukuhkan lagi kerjasama antara UBD dengan rakan kongsi industri untuk meningkatkan peluang pemasaran bagi pelajar-pelajar dan graduan dalam pasaran kerja tempatan dan antarabangsa yang semakin kompetitif.

Pesta kerjaya UBD kali ini disertai lebih 30 penyertaan daripada pelbagai pihak yang terdiri daripada sektor kerajaan dan sektor swasta dan institusi antarabangsa seperti Progresif Cellular Sdn Bhd, Institut Pendidikan Teknikal Brunei, Slingmax Sdn Bhd, Rentokil Initial, Darussalam Enterprise (DARe), Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB), Telekom Brunei (TelBru), Maybank, Royal Brunei Catering, The Collective, AIA BR-Kelvin Pong, Simpor Pharma dan banyak lagi.

Bagi orang ramai yang inginkan maklumat lanjut mengenai bagaimana membuat pendaftaran awal bagi pesta itu, boleh menghubungi pejabat UBD CoNECT menerusi e-mel office.conect@ubd.edu.bn atau talian 2463001 sambungan 3737.

ARTIKEL YANG SAMA