Pesta Kerjaya UBD kembali lagi

Pesta Kerjaya UBD kembali lagi

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Ogos – Universiti Brunei Darussalam (UBD) akan menganjurkan pesta kerjaya sebagai usaha menyediakan platform kepada para pelajar bertemu para majikan dan membincangkan pelan kerjaya masa depan, berikutan kejayaan acara Kerjaya 101 tahun lalu.

Pesta Kerjaya UBD 2016 yang akan diadakan pada 17 hingga 19 Ogos di Dewan Canselor UBD berkenaan dianjurkan oleh Pusat Rangkaian, Pekerjaan dan Latihan Kerjaya UBD (UBD CoNECT) dengan sokongan Pejabat Perhubungan dan Kemajuan Alumni UBD (UBD OARA).

Menurut kenyataan UBD, hari ini, acara tiga hari itu akan melibatkan penyertaan dua buah agensi kerajaan, 22 buah syarikat tempatan dan sebuah institusi antarabangsa.

Sebahagian daripada yang ikut serta seperti, Darussalam Enterprise (DARe), Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB), Telekom Brunei (TelBru), AIA BR-Kelvin Pong, dan Simpor Pharma akan menawarkan pelbagai peluang pekerjaan dan temu bual bagi para pelajar dan alumni bagi peluang-peluang pekerjaan sambilan/tetap/perantisan/penempatan.

Di samping itu, pelajar-pelajar juga akan berpeluang untuk mendaftar dan menyertai bengkel-bengkel yang akan memfokuskan ke atas membangunkan kemahiran yang sangat diperlukan dalam mencari pekerjaan seperti membuat CV dan surat pengiring, kemahiran temu bual dan komunikasi, kemahiran pembentangan dan sebagainya.

Sehubungan itu, para pelajar diingatkan untuk membawa beberapa salinan resume dan sijil-sijil berkaitan ke pameran itu. Pameran kerjaya itu dibuka kepada semua pelajar, bagaimanapun, keutamaan diberikan kepada graduan UBD bagi bengkel-bengkel.

Bagi maklumat lanjut mengenai bagaimana membuat pendaftaran awal bagi pameran itu, boleh menghubungi pejabat UBD CoNECT menerusi e-mel office.conect@ubd.edu.bn atau talian 2463001 sambungan 3737.

ARTIKEL YANG SAMA