Pesta layang-layang 18 September ini

Pesta layang-layang 18 September ini

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Sept – Persatuan Kikik Brunei Darussalam dengan kerjasama beberapa pihak akan mengadakan Pesta Layang-layang Hari Keputeraan ke-70 di Dermaga Diraja Bandar Seri Begawan pada 18 September ini.

Perkara tersebut antara yang dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pesta Layang-layang Sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraan yang berlangsung di Bilik Mesyuarat, Tingkat 1, Pejabat Daerah Brunei dan Muara, hari ini.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Pengerusi Persatuan Kikik Brunei Darussalam (PEKIKIK), Haji Maidin bin Haji Ahmad telah dihadiri oleh ahli jawatankuasa (AJK) acara berkenaan yang akan dilantik terdiri daripada pegawai-pegawai dari Jabatan Kemajuan Pelancongan, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan, ahli Dewan Perniagaan & Perusahaan Melayu Brunei, serta ahli-ahli PEKIKIK yang lain.

Menurut Haji Maidin, pesta yang sudah lama tidak diadakan itu sejak tujuh tahun lepas akan diadakan di Dermaga Diraja Bandar Seri Begawan, memandangkan kawasan yang sering diadakan sebelum ini di Pantai Tungku ditutup bagi projek Agensi Pelaburan Brunei (BIA).

Sesi bergambar ramai selepas selesai mesyuarat berkenaan diadakan.
Sesi bergambar ramai selepas selesai mesyuarat berkenaan diadakan.
Haji Maidin ketika mempengerusikan mesyuarat berkenaan.
Haji Maidin ketika mempengerusikan mesyuarat berkenaan.

Pesta tersebut juga akan dimeriahkan dengan tujuh jenis pertandingan iaitu pertandingan kikik biasa (lebar tidak kurang daripada 4 kaki), Kikik Si-Julak, Kikik Siar Manjar, Kikik ciptaan bebas, ‘merakat kikik’ bagi kanak-kanak berumur 10 tahun ke bawah dan dinaikkan, membuat kikik biasa dan terus dinaikkan, serta pertandingan mewarna bagi kanak-kanak berumur 10 tahun ke bawah. Kesemua acara tersebut akan diadakan pada sebelah pagi, manakala pada sebelah petang pula akan diadakan majlis perasmian kikik dan penyampaian hadiah.

Pesta berkenaan sejajar dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan ketika Sesi Plenari Sidang Kemuncak ASEAN ke-28 baru–baru ini di Laos dalam menjadikan masyarakat hidup lebih harmoni dalam komuniti ASEAN dan menyemai keunikan pelbagai budaya di rantau ini.

Orang ramai adalah dialu-alukan untuk menyertai pertandingan berkenaan dan penyertaan adalah percuma dan borang boleh didapati di Pejabat Daerah Brunei dan Muara.

ARTIKEL YANG SAMA