Pesta Makanan Brunei bermula

Pesta Makanan Brunei bermula

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Mac – Pesta Makanan Brunei membuka tirainya hari ini di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah dengan mengetengahkan 60 penyertaan yang terdiri daripada restoran, restoran makanan segera, para peniaga dalam talian dan banyak lagi.

Perasmian pesta berkenaan telah disempurnakan oleh Pemangku Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS), Dayang Mariam binti Ulat.

Pesta antara lain berobjektif untuk memberikan peluang kepada para pengusaha kecil dan sederhana (PKS) mengembangkan aktiviti-aktiviti perniagaan mereka sepanjang cuti persekolahan.

Menurut Star Bugs Event Management selaku penganjur, pesta tersebut adalah salah satu peluang untuk memberikan kesedaran kepada orang ramai mengenai produk-produk makanan dan minuman.

Salah seorang peniaga online dari Suria Egg Tart, berkata acara seumpamanya merupakan cara terbaik untuk semua PKS menyertai dan menambah pendapatan.

Pemangku Pengarah JBS memotong reben menandakan bermulanya pesta makanan berkenaan.
Pemangku Pengarah JBS memotong reben menandakan bermulanya pesta makanan berkenaan.
Suasana dalam pesta makanan yang berlangsung.
Suasana dalam pesta makanan yang berlangsung.

Beliau menambah, respons orang ramai sangat menggalakkan dan ini memberikan beliau peluang untuk mendedahkan lagi produk kepada orang ramai yang belum mengetahuinya.

Antara aktiviti menarik yang diadakan semasa pesta berkenaan ialah persembahan silap mata dan cosplay termasuk IronMan, Transformers dan banyak lagi.

Selain itu, maskot Hello Kitty, Kungfu Panda dan banyak lagi juga akan membuat kemunculan bagi menceriakan kanak-kanak serta memberikan peluang kepada mereka bergambar bersama maskot berkenaan.

Pertandingan untuk kanak-kanak seperti menghias Marshmallow dan kek cawan juga mengambil tempat sepanjang acara itu berlangsung.

Acara tersebut disokong oleh Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan serta media bersama Borneo Bulletin.

ARTIKEL YANG SAMA