Pesta Makanan dapat sambutan menggalakkan

Pesta Makanan dapat sambutan menggalakkan

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Mac – Orang ramai di negara ini tidak melepaskan peluang berkunjung ke Pesta Makanan Brunei 2016 yang memasuki hari terakhirnya, hari ini, yang diadakan di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah Berakas sejak 23 Mac lalu, di sini.

Pelbagai hidangan istimewa termasuk produk makanan dijual di pesta ini yang bertujuan untuk memberi peluang kepada peniaga online dan peniaga kecil pembuatan kuih dan kek bagi mempromosi hasil produk mereka dan menggalakkan orang ramai untuk berbelanja di negara sendiri.

Pesta Makanan ini juga digunakan oleh para ibu bapa sebagai salah satu destinasi untuk membawa anak-anak mereka yang ketika ini dalam cuti persekolahan penggal pertama sebagai tempat meluangkan masa bersama keluarga.

Dalam tinjauan media ke pesta berkenaan mendapati orang ramai mula membanjiri ruang pesta itu sejak ia dibuka pada pukul 10 pagi lagi.

Beberapa peniaga dalam pesta itu rata-rata menjelaskan, sambutan daripada orang ramai sangat menggalakkan.

Dayang Nuramal Atiqah menyatakan orang ramai mengambil peluang mendapatkan makanan kegemaran mereka di pesta itu.
Dayang Nuramal Atiqah menyatakan orang ramai mengambil peluang mendapatkan makanan kegemaran mereka di pesta itu.
Orang ramai berpusu-pusu membeli pada hari terakhir pesta tersebut.
Orang ramai berpusu-pusu membeli pada hari terakhir pesta tersebut.

Dayang Nuramal Atiqah binti Haji Abi yang menjaga petak Blissful Bites ketika ditemu bual menjelaskan bahawa sambutan begitu menggalakkan daripada orang ramai sejak ia dibuka dan dirasmikan pada 23 Mac lalu.

Beliau seterusnya berkata, “Kek yang dijual di petak ini merupakan produk Blissful Bites sendiri di mana penglibatan dalam penyertaan expo seumpama ini sudah lebih tiga tahun dan ia telah mendapat tempat di hati pembeli.”

Selain menyertai dalam expo seumpama ini, produk Blissful Bites bukan saja boleh didapati dalam jualan secara langsung tapi orang ramai juga boleh mengikuti perkembangan terkini mereka melalui Instragram.

Pihak media juga sempat menemu bual Pengurus Pemasaran dan Projek Pesta Makanan Brunei 2016, Dayangku Rina binti Pengiran Haji Ahmad yang antara lain mengatakan, “Pesta seumpama ini merupakan kali kelima diadakan dan pada pesta kali ini, lebih 60 petak disertai oleh pengusaha tempatan dalam bidang makanan.”

Dayangku Rina kemudian menambah, “Di masa akan datang, pihak penganjur merancang mengembangkan lagi pesta ini dengan menjemput pembekal makanan yang sudah dikenali untuk membuat kelainan dan memeriahkan lagi pesta ini.”

Salah seorang pengunjung ke pesta ini menjelaskan, dengan adanya pesta ini, ia bukan saja memberi peluang kepada peniaga dalam bidang kuih dan kek untuk mempromosi produk mereka tapi dapat memberi galakan kepada rakyat dan penduduk di negara ini untuk berbelanja di negara sendiri.

Di samping jualan makanan, pesta yang dianjurkan oleh Star Bugs Event Management itu turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti sampingan sebagai penghargaan kepada para pengunjung yang bertuah.

ARTIKEL YANG SAMA