Pesta Makanan & Kesenian Korea

Pesta Makanan & Kesenian Korea

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Ogos – Pusat Membeli-Belah Times Square kini sedang menganjurkan Pesta Makanan dan Kesenian Korea dengan kerjasama Kedutaan Republik Korea, Perbadanan Perikanan Argo dan Perdagangan Makanan Korea, Kementerian Pertanian Makanan dan Hal Ehwal Luar Bandar Korea serta Galeri DM, yang telah bermula kelmarin sehingga 5 Ogos ini.

Pelancaran pesta selama lima hari di Atrium Pusat Membeli-Belah Times Square itu telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datin Paduka Hajah Adina binti Othman selaku tetamu kehormat bersama Duta Besar Republik Korea ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Cho Won-Myung serta pihak pengurusan penganjur acara.

TYT Cho Won-Myung dalam ucapan alu-aluannya menyatakan, pameran seni lukis pada pesta berkenaan mempamerkan hasil karya 10 orang artis Korea dengan kerjasama Gallery DM.

“Ia adalah satu kelebihan bagi artis-artis Brunei menyertai pesta ini, untuk memberikan peluang pengunjung menyaksikan pertukaran lukisan di antara kedua-dua buah negara,” ujarnya.

Katanya lagi, kedutaan beliau juga menjemput cef-cef dari Korea untuk mengadakan demonstrasi masakan Korea dan seterusnya pertandingan memakan Kimchi dan permainan meneka.

Datin Paduka Hajah Adina dan TYT Cho Won-Myung menyaksikan pameran lukisan 10 artis Korea dan beberapa penyertaan tempatan.
Datin Paduka Hajah Adina dan TYT Cho Won-Myung menyaksikan pameran lukisan 10 artis Korea dan beberapa penyertaan tempatan.
Datin Paduka Hajah Adina (tengah) menggaul makanan Korea bersama tetamu khas yang lain bagi menandakan Pesta Makanan dan Kesenian Korea bermula.
Datin Paduka Hajah Adina (tengah) menggaul makanan Korea bersama tetamu khas yang lain bagi menandakan Pesta Makanan dan Kesenian Korea bermula.

“Saya percaya pertukaran budaya Brunei-Korea melalui acara sebegini akan dapat berkembang dan kami merancang untuk mengadakan lebih banyak lagi acara di masa akan datang,” katanya, sambil menyatakan beberapa acara lain akan diadakan pada pertengahan bulan hadapan dan awal Oktober.

Antara aktiviti yang berlangsung sepanjang pesta itu termasuk demonstrasi masakan, pertandingan makan, belajar melukis topeng tradisi, lukisan muka oleh pelukis Korea, meneka bahan-bahan masakan, belajar kaligrafi Korea, belajar pembelajaran ‘Traditional Wrapping Cloth’ (bojagi), pondok pakaian dan gambar serta aktiviti-aktiviti oleh Kelab Budaya Korea Institut Teknologi Brunei (ITB KCC).

Selain daripada aktiviti yang dijalankan itu pelbagai pameran seperti galeri lukisan Brunei dan Korea juga diadakan diikuti dengan penyertaan restoran-restoran tempatan Korea yang akan menyediakan pelbagai jenis makanan Korea.

Tinjauan Media Permata ke pesta itu, hari ini, menyaksikan salah satu aktiviti yang menarik perhatian ramai iaitu demonstrasi memasak oleh Cef Yoon Mi Choi yang telah berkecimpung dalam bidang masakan di Korea lebih lima tahun.

Antara aktiviti menarik yang diadakan semasa Pesta Makanan dan Kesenian Korea.
Antara aktiviti menarik yang diadakan semasa Pesta Makanan dan Kesenian Korea.
Cef Yoon Mi Choi (kanan) bersama penterjemah beliau, Youri Oh.
Cef Yoon Mi Choi (kanan) bersama penterjemah beliau, Youri Oh.
Pengunjung mencuba pakaian Korea yang dikenali sebagai Hanbok.
Pengunjung mencuba pakaian Korea yang dikenali sebagai Hanbok.
Antara restoran makanan Korea yang menyertai pesta berkenaan.
Antara restoran makanan Korea yang menyertai pesta berkenaan.

Cef Yoon Mi Choi semasa ditemui berkata ini merupakan kali pertama beliau ke Brunei dan di festival ini beliau berkongsi cara-cara untuk membuat hidangan seperti Kimbab, Acorn Jelly dengan Nasi, Jap Chae dan Pankek Kimchi.

“Pada permulaannya, saya merasa sangat khuatir kerana kesemua hidangan-hidangan yang saya demonstrasikan itu adalah makanan untuk rakyat Korea sahaja.

“Di hari pertama saya di sini, dengan demonstrasi masakan Pankek Kimchi, saya amat terharu dan gembira apabila orang ramai rata-rata ingin mencuba masakan saya ini.”

Beliau juga menyatakan perasaan amat gembira kerana diberikan peluang untuk mengunjungi Brunei selama seminggu dan beliau berharap akan diberikan lagi peluang-peluang keemasan ini agar dapat berkongsi pelbagai resipi masakan bersama penduduk di negara ini.

ARTIKEL YANG SAMA