Pesta Makanan Malaysia 2016 di Restoran Seasons

Pesta Makanan Malaysia 2016 di Restoran Seasons

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 April – Restoran Seasons, di bawah Royal Brunei Catering (RBC), dengan kerjasama Tourism Malaysia, Syarikat Penerbangan Diraja Brunei dan Hotel Centrepoint, malam tadi melancarkan Pesta Makanan Malaysia 2016 yang akan berlangsung hingga 30 April 2016.

Pelancarannya disempurnakan oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Datuk Ghulam Jelani bin Khanizaman bersama Timbalan Menteri Kewangan (Fiskal) dan Pengerusi RBC, Dato Paduka Haji Hisham bin Haji Mohd Hanifah serta Timbalan Menteri Kewangan (Pelaburan) dan Ketua Pegawai eksekutif Darussalam Assets, Dato Paduka Dr. Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah, dalam majlis yang berlangsung di Restoran Seasons, Hotel Centrepoint, Gadong.

Turut hadir ialah Pengurus Besar RBC, Awang Ahmad Husaini Hassan, pengarah Tourism Malaysia, ahli-ahli Lembaga RBC, wakil-wakil dari Suruhanjaya Tinggi Malaysia, Tourism Malaysia, pihak pengurusan RBC, Syarikat Penerbangan Diraja Brunei, dan Hotel Centrepoint.

Sepanjang pesta tiga minggu ini, tukang masak Restoran Seasons akan menyediakan masakan asli Malaysia dan ala-ala makanan penjaja Pulau Pinang. Para tetamu boleh menikmati promosi setiap hari Khamis, Jumaat, dan Sabtu dari jam 7 malam hingga 10 malam.

Pelbagai menu telah disediakan bagi promosi berkenaan seperti Laksa Kedah, Laksa Johor, Ipoh Kuey Teow, Selangor Yong Tau Foo, Penang Pasembur, Sup Tulang Berempah, Sup Kambing Mamak, Nasi Lemak Kampung Baru, Ayam Golek Kelantan, Ikan Panggang Kuala Perlis, Sup Kepala Ikan, Gulai Kawah Daging, Sabah Chicken Herb Tea, ulam-ulaman dan bermacam lagi.

Tuan Yang Terutama Datuk Ghulam Jelani ketika melancarkan pesta berkenaan, bersama Dato Paduka Haji Hisham dan Dato Paduka Dr. Haji Mohd Amin Liew.
Tuan Yang Terutama Datuk Ghulam Jelani ketika melancarkan pesta berkenaan, bersama Dato Paduka Haji Hisham dan Dato Paduka Dr. Haji Mohd Amin Liew.
Pengurus Besar RBC ketika menyampaikan ucapan alu-aluan.
Pengurus Besar RBC ketika menyampaikan ucapan alu-aluan.

Bagi pencuci mulut, Restoran Seasons menyajikan Kacang Ais, Bubur Cha Cha, Apam Balik dengan pelbagai perisa, Puteri Berendam, Buah Melaka, Lepat Pisang Kelapa, Kuih Cara Berlauk, Tepung Talam, Kuih Keria, Cendol dengan pelbagai perisa, Puteri Ayu dan lain-lain.

Para pelanggan yang makan di Restoran Seasons dan berbelanja sekurang-kurangnya $150 dalam satu resit semasa pesta berkenaan juga akan berpeluang untuk memenangi hadiah-hadiah hebat seperti tiket penerbangan pergi dan balik untuk pakej percutian tiga hari dua malam ke Kuala Lumpur untuk satu orang, tajaan Tourism Malaysia, sebagai hadiah utama cabutan bertuah.

Tempat kedua dan ketiga masing-masing menawarkan tiket pergi balik untuk satu orang ke Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu yang ditaja oleh Syarikat Penerbangan Diraja Brunei, manakala itu, pemenang bertuah keempat akan menerima pakej penginapan tiga hari dua malam di Suite Junior untuk dua orang di Hotel Centrepoint.

Di samping itu, 20 pelanggan pertama yang makan di sana boleh menyertai kelas memasak secara percuma jika mereka mendaftar untuk kelas tersebut.

Menurut kenyataan RBC, pemegang kad Privilege RBC boleh mendapatkan diskaun 15% dengan syarat bahawa kad berkenaan mesti ditunjukkan semasa pembayaran dibuat.

ARTIKEL YANG SAMA