Pesta Menuai Onam diraikan

Pesta Menuai Onam diraikan

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 20 Sept – Lebih 500 orang telah menghadiri Majlis Sambutan Pesta Menuai Onam anjuran Persatuan Malayali yang berlangsung di Pusat Insani, di sini.

Sambutan pesta yang paling penting diraikan di Kerala itu telah dihadiri oleh Pesuruhjaya Tinggi India ke Negara Brunei Darussalam, Nagma M. Mallick selaku tetamu kehormat yang turut menyempurnakan perasmian majlis tersebut dengan menyalakan api pada lampu, sebagai tradisi bagi perayaan itu.

Dalam ucapannya, Nagma M. Mallick merakamkan penghargaannya kepada Persatuan Malayali yang begitu proaktif dalam aktiviti-aktiviti kebajikan masyarakat dan juga mengetengahkan kebudayaan mereka kepada masyarakat setempat.

Dalam masa yang sama, beliau berterima kasih atas sokongan kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kepada masyarakat India yang berada di negara ini.

Sementara itu, Presiden Persatuan Malayali, Ajayan P Vasu, dalam ucapan alu-aluannya turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan yang sentiasa memberikan kerjasama untuk mereka mengadakan acara-acara kebudayaan di negara ini.

Pesuruhjaya Tinggi India di Negara Brunei Darussalam merasmikan Majlis Sambutan Pesta Menuai Onam.
Pesuruhjaya Tinggi India di Negara Brunei Darussalam merasmikan Majlis Sambutan Pesta Menuai Onam.
Persembahan tarian tradisional menceriakan lagi Majlis Sambutan Pesta Menuai Onam dianjurkan oleh Persatuan Malayali.
Persembahan tarian tradisional menceriakan lagi Majlis Sambutan Pesta Menuai Onam dianjurkan oleh Persatuan Malayali.

Beliau juga menyeru kepada masyarakat Malayali untuk terus aktif menyertai acara-acara kebajikan dan kemasyarakatan yang dikendalikan oleh persatuan tersebut, terutama aktiviti kempen derma darah dan juga penanaman pokok.

Majlis turut menyaksikan penyampaian sumbangan bagi Tabung Amal dan Tabung Anak-anak Yatim Daerah Belait serta kerusi roda yang diserahkan kepada Pegawai Daerah Belait, Haji Haris bin Haji Othman dengan disaksikan oleh Penghulu Mukim Belait, Haji Pungut bin Haji Ali.

Seperti pada tahun-tahun lepas, Persatuan Malayali pada majlis itu juga telah menyampaikan hadiah penghargaan kepada pelajar-pelajar cemerlang yang terdiri daripada anak-anak ahli persatuan berkenaan.

Berbagai-bagai acara kebudayaan yang menarik telah memeriahkan lagi sambutan perayaan tersebut, antaranya persembahan tarian dan sebagainya, sebelum diakhiri dengan menjamu hidangan tradisi Kerala, yang dihidangkan di atas daun pisang.

Perayaan menuai Onam merupakan perayaan utama yang diraikan di Kerala, India, dan ia jatuh dalam bulan Ogos hingga September. Di Kerala, sambutan ini merupakan perayaan yang biasanya diserikan dengan pelbagai acara kebudayaan.

ARTIKEL YANG SAMA