Pesta Pameran Rumah BIBD buka tirai

Pesta Pameran Rumah BIBD buka tirai

Oleh Siti Nur Wasimah S.

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Sept – Pesta Pameran Rumah Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) edisi ke-9 membuka tirainya hari ini di BIBD Cawangan Kiulap.

Hadir bagi menyempurnakan perasmian pesta itu ialah Timbalan Pengarah Urusan BIBD, Hajah Noraini binti Haji Sulaiman. Turut hadir ialah Timbalan Ketua Kumpulan Perbankan Runcit BIBD, Hajah Nurul Akmar binti Haji Mohd Jaafar.

Dalam ucapannya, Hajah Noraini menyatakan bahawa pesta pameran rumah ini merupakan acara utama bank yang bertujuan untuk mewujudkan kesedaran dan memupuk penghayatan mengenai kepentingan perancangan dan pengurusan kewangan di samping untuk mendidik pelanggan dan orang ramai mengenai kepentingan perancangan kewangan.

Beliau menambah, para pelanggan dan orang ramai perlu memahami bahawa mengutamakan kewangan mereka dapat membantu mencapai matlamat sama ada untuk membina sebuah rumah selesa dan selamat, membiayai pendidikan mereka sendiri atau anak-anak mereka atau memilih pelaburan yang sesuai dan mapan.

Edisi tahun ini membawa tema ‘Farmers’ Market’, berasaskan konsep pemilikan rumah, mengetengahkan produk-produk yang berkaitan rumah dan senarai terkini hartanah, serta akan melibatkan penyertaan usahawan-usahawan tempatan, muda, yang terkenal dan usahawan yang semakin meningkat serta perusahaan kecil dan sederhana yang akan menawarkan pelbagai produk.

Pesta yang akan berlangsung sehingga 16 Oktober itu, direka dengan konsep yang unik dan tema yang menarik perhatian para individu muda yang sedang mencari dan ingin mendapatkan rumah moden serta selesa mengikut cita rasa mereka.

Hajah Noraini semasa melawat ke kotak-kotak pameran.
Hajah Noraini semasa melawat ke kotak-kotak pameran.
Orang ramai yang tidak melepaskan peluang berkunjung ke pesta berkenaan.
Orang ramai yang tidak melepaskan peluang berkunjung ke pesta berkenaan.

Sehubungan dengan itu, dalam pameran ini, BIBD telah bekerjasama dengan My Space Gallery Sdn Bhd untuk mempamerkan pelbagai produk yang boleh dipercayai, pada harga yang berpatutan dan berkualiti, spesifikasi berasaskan pengetahuan dan memberikan perkhidmatan selepas jualan yang cemerlang kepada para pelanggan.

Dengan sokongan Collective Arts Events pula, pameran berkenaan direka bagi mewujudkan perbezaan dan pandangan yang transformatif terhadap BIBD sebagai ‘bank untuk semua’, melibatkan diri dengan orang ramai melalui aktiviti yang menyeronokkan dan mengukuhkan hubungan dengan pihak berkepentingan bank dan orang ramai.

Pesta ini turut disertai oleh agensi-agensi hartanah yang dikenali ramai seperti Primeland, Bess Perfect, JFA, BN Harta Jati dan Wintersky, dengan masing-masing menawarkan pelbagai pilihan hartanah yang menarik bagi setiap pelanggan.

Manakala itu, antara usahawan-usahawan tempatan yang ikut serta dan menawarkan pelbagai produk menarik kepada orang ramai adalah The Krema, Happy Cream, Heirloom dan banyak lagi.

Sepanjang pesta pameran rumah ini, para pelanggan berpeluang mendapatkan kadar promosi istimewa dalam pembiayaan pembaikan rumah, pembiayaan pendidikan, pembiayaan peribadi, pembiayaan penyatuan dan pengecualian khas yuran pemprosesan.

Para pelanggan juga akan mendapat hadiah istimewa apabila mereka mengisi ‘financial health check’, di samping mendapatkan pakej-pakej istimewa daripada My Space Gallery Sdn Bhd.

Promosi-promosi menarik ini bolehlah didapati di cawangan-cawangan BIBD yang ikut serta iaitu cawangan Tanjung Bunut, Manggis, Rimba, Kiulap, Kuala Belait dan cawangan utama.

Dalam pada itu, bersempena dengan pesta berkenaan, BIBD turut mengadakan beberapa kempen, termasuk pertandingan Instagram yang akan berlangsung hingga 3 Oktober.

Menerusi pertandingan berkenaan, para peserta perlu mengambil foto rumah yang menggambarkan makna rumah berkenaan kepada mereka dan hashtag #BIBDwhathomemeans dalam akaun Instagram mereka.

Para pemenang pertandingan akan memenangi baucar Supa Save bernilai $50 dan berpeluang untuk menghadiri pameran ‘Signature pop-up dinner’ pada 21 September nanti.

Di samping itu, pertandingan melukis juga diadakan bagi kanak-kanak berusia empat hingga 15 tahun dan para peserta bolehlah menghantar lukisan mereka ke The Collective Arts pada 14 Oktober.

Pemenang akan menerima hadiah wang tunai yang didepositkan ke dalam akaun masing-masing dengan jumlah sebanyak $200, $100 dan $50 untuk tempat pertama, kedua dan ketiga.

ARTIKEL YANG SAMA