Pesta Pameran Rumah BIBD kembali lagi

Pesta Pameran Rumah BIBD kembali lagi

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Sept – Pesta Pameran Rumah Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) akan kembali lagi bagi edisi ke-9 yang akan berlangsung dari 11 September hingga 16 Oktober 2016.

Edisi kali ini akan mengetengahkan kandungan penyelesaian rumah yang baru dan konsep berlainan, yang mana ia akan diadakan sebagai satu siri acara dalam tempoh sebulan, setiap satu membawakan tema tertentu.

Perkara ini telah diumumkan dalam satu sidang akhbar yang diadakan di Ibu Pejabat BIBD, di ibu negara, hari ini, yang dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Kumpulan Perbankan Runcit BIBD, Hajah Nurul Akmar binti Haji Mohd Jaafar dan turut dihadiri bersama wakil rakan kongsi pameran berkenaan iaitu My Space Gallery (MSG) dan pengurus acara, The Collective Art Events (CAE).

Pesta berkenaan berasaskan sekitar konsep pemilikan rumah, mengetengahkan produk-produk yang berkaitan rumah dan senarai terkini hartanah, serta akan melibatkan penyertaan usahawan-usahawan tempatan, muda, yang terkenal dan usahawan yang semakin meningkat serta perusahan kecil dan sederhana yang akan menawarkan pelbagai produk.

Objektif utama pameran ini adalah untuk mewujudkan kesedaran dan memupuk penghayatan mengenai kepentingan perancangan dan pengurusan kewangan, serta untuk membimbing pelanggan dalam membuat keputusan yang sesuai dan tepat pada masanya dalam pemilikan rumah, sama ada untuk tempat tinggal atau sebagai satu pelaburan.

Hajah Nurul Akmar (duduk, dua kiri) bersama rakan kongsi Pesta Pameran Rumah ke-9 ketika sidang media yang diadakan kelmarin.
Hajah Nurul Akmar (duduk, dua kiri) bersama rakan kongsi Pesta Pameran Rumah ke-9 ketika sidang media yang diadakan kelmarin.

Dengan sokongan Collective Arts Events, pameran berkenaan direka bagi mewujudkan perbezaan dan pandangan yang transformatif terhadap BIBD sebagai ‘bank untuk semua’, melibatkan diri dengan orang ramai melalui aktiviti yang menyeronokkan dan mengukuhkan hubungan dengan pihak berkepentingan bank dan orang ramai.

BIBD menekankan bahawa mereka mahu mencipta kenangan yang manis dan berkualiti, dan menyebarkan nilai ‘Bruneian at Heart’ kepada semua golongan masyarakat, dan dalam diri mereka sendiri.

Pesta yang akan diadakan di cawangan-cawangan BIBD, itu bukan sahaja membawa pameran rumah kepada pelanggan dan orang ramai, malah memberikan pemahaman tentang produk dan perkhidmatan BIBD.

Pelanggan dan orang ramai juga akan dapat mengakses pelbagai promosi yang ditawarkan sepanjang tempoh pameran rumah tersebut.

Pengunjung akan berpeluang bertemu dengan kakitangan BIBD untuk membincangkan dan menyelesaikan risiko kewangan mereka; mencadangkan pelan kewangan dan membantu mereka mencari rumah atau hartanah yang mereka inginkan, mengikut kemampuan mereka.

Dengan memahami kehendak pelanggan, BIBD bekerjasama dengan My Space Gallery Sdn Bhd, sebuah syarikat yang menyediakan penyelesaian dan konsultasi reka bentuk serta produk bagi rumah, pejabat dan bangunan.

Mereka menawarkan pelbagai jenama dan koleksi cita rasa mewah dan jenama daripada pengeluar terkenal di seluruh dunia seperti produk kebersihan dan produk bilik mandi, peralatan dapur dan aksesori, dapur modular, almari, perabot besi, lampu biasa dan hiasan, dinding, lantai dan jubin serta produk seni bina.

Pameran rumah berkenaan juga akan menyaksikan penyertaan rakan-rakan kongsi terkenal dan mempunyai reputasi baik dalam industri pembangunan hartanah, ‘realtor’ dan perumahan, yang akan mempamerkan hartanah di beberapa lokasi strategik, dengan konsep dan reka bentuk yang moden.

Pesta berkenaan akan turut dimeriahkan dengan kehadiran lebih daripada 40 vendor yang mengambil bahagian dalam pesta itu. Sempena pesta berkenaan, BIBD juga mengumumkan bahawa beberapa kempen akan diadakan, termasuk pertandingan Instagram yang bermula hari ini hingga 3 Oktober.

Menerusi pertandingan berkenaan, para peserta perlu mengambil foto rumah yang menggambarkan makna rumah berkenaan kepada mereka dan hashtag #BIBDwhathomemeans dalam akaun Instagram mereka.

Seramai 15 pelanggan yang mengambil foto terbaik akan memenangi baucar Supa Save bernilai $50 dan tempat duduk bagi acara ‘Sunset Social Mixer’ pada 9 Oktober.

Di samping itu, pertandingan melukis akan diadakan dari 9 September hingga 14 Oktober dan terbuka kepada peserta berumur antara 4 hingga 15 tahun. Pemenang akan menerima hadiah wang tunai yang didepositkan ke dalam akaun masing-masing dengan jumlah sebanyak $200, $100 dan $50 untuk tempat pertama, kedua dan ketiga.

ARTIKEL YANG SAMA